

Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Kidurong awal pagi ini.
BINTULU: Seorang warga emas wanita berumur 59 tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun melecur pada bahagian tangan dan badan dalam kebakaran yang membabitkan sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Kidurong awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Sarawak dalam kenyataannya semalam berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan BBP Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran sekitar jam 4.42 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan sebuah rumah pekerja jenis tidak kekal di kawasan berkenaan," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran air dua nozel yang mana sumber air diperoleh dari tangki jentera bomba.
Setelah hampir dua jam menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 7.18 pagi.
Turut difahamkan bahawa kedua-dua mangsa dibawa oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami semua mangsa terjejas belum lagi dapat dikenal pasti.
|