
MIRI: Padah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mohammad Iqhuwan Mat, 43, dari Piasau Jaya di sini didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.20 pagi, 10 Disember 2024 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Sahrol Bahar di hadapan Majistret Ashok Linggam manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
|