Jangan hanya bergantung kepada projek pembangunan dalam negeri yang kian berkurangan, kata Dr Sim

Dr Sim bersama Clarence Ting (kiri) menunjukkan watikah pelantikan sebagai Pengerusi MPS bagi penggal 2025–2028 pada majlis rasmi di Sibu hari ini.
“Antara projek berskala besar yang dijangka siap menjelang tahun depan termasuk Lebuh Raya Pesisir dan Jalan Utama Kedua (STR).”
Datuk Amar Dr Sim Kui Hian Timbalan Premier Sarawak
Oleh Andy Sabang
SIBU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyeru kontraktor tempatan agar lebih proaktif meneroka pasaran antarabangsa dan tidak hanya bergantung kepada projek pembangunan dalam negeri yang kian berkurangan.
Menurut beliau, kebimbangan dalam kalangan kontraktor yang enggan memulakan projek baharu kerana khuatir pelaburan besar tidak memberi pulangan wajar adalah sesuatu yang difahami, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan projek mega kini hampir disiapkan sepenuhnya.
“Antara projek berskala besar yang dijangka siap menjelang tahun depan termasuk Lebuh Raya Pesisir dan Jalan Utama Kedua (STR).
“Projek Pan Borneo bernilai RM17 bilion juga berada pada fasa akhir pelaksanaan manakala hanya projek pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa yang masih dalam perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Upacara Angkat Sumpah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bagi penggal 2025–2028, hari ini.
“Apabila semua projek ini selesai, tiada lagi projek mega berskala besar untuk ditawarkan.
“Maka timbul persoalan dalam kalangan kontraktor — sekiranya mereka melabur besar, dari mana pulangan akan diperoleh,” ujarnya.
Tambah beliau, sebelum ini kontraktor menikmati manfaat daripada pelaksanaan projek-projek besar seperti Pan Borneo yang bernilai RM17 bilion.
Namun selepas itu, projek infrastruktur mula berkurangan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kadar pulangan pelaburan.
Justeru, beliau menyarankan agar kontraktor tempatan meningkatkan daya saing dan menjadikan Sarawak sebagai platform untuk menembusi pasaran luar negara, termasuk Indonesia.
“Saya kata kepada mereka, jika kita benar-benar berkualiti, maklumkan kepada dunia bahawa kita dari Sarawak — orang akan jemput kita ke Indonesia (contohnya). “Mengapa hanya fokus di Sarawak? Jadikan Sarawak sebagai permulaan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa,” tegasnya.
Mengambil contoh syarikat pembinaan dari China, beliau berkata syarikat-syarikat tersebut kini berjaya menguasai pelbagai projek infrastruktur di Sarawak hasil keberanian mereka menembusi pasaran global.
“Dua puluh tahun lalu, siapa pernah dengar nama syarikat pembinaan dari China? Tapi hari ini, mereka melaksanakan majoriti projek infrastruktur berskala besar di negeri ini.
“Sekalipun diberi peluang kepada kita, mungkin kita tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Malah, kita juga tidak mampu menyaingi kos rendah yang ditawarkan mereka. Itu adalah hakikat,” jelasnya.
|