Kulim: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang mengalami hilang ingatan dan strok tangan kiri selepas dilaporkan hilang sejak 24 Mac lalu, dengan lokasi terakhir dikenal pasti di Kampung Keda, Bagan Sena, Labu Besar, di sini.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Mohd Fauzi Awang Saad, 51, sebagai kes Orang Hilang (OH) pada 25 Mac lalu, jam 9.04 pagi.
Beliau berkata, lelaki itu tidak bekerja dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T hijau dan berseluar hitam serta disedari hilang pada jam 5 petang, 24 Mac lalu.
"Lokasi akhir lelaki itu adalah di Nombor 11, Kampung Keda, Bagan Sena, Labu Besar dekat sini.
"Ciri-ciri fizikal lelaki itu adalah berketinggian 156 sentimeter (sm), berat 85 kilogram, rambut botak di bahagian tengah/hitam, hidungnya lebar, mempunyai misai dan bibir tebal serta mengalami hilang ingatan dan strok tangan kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung lelaki berkenaan boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222.