Bayan Lepas: Lelaki warga emas tergamak merogol seorang gadis orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, dalam kejadian pada Ahad lalu.
Suspek yang berusia 64 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan itu lebih daripada sekali di sebuah rumah, di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, terdahulu, ketiadaan gadis berusia 27 tahun itu disedari ibu mangsa kira-kira jam 6 petang, sebelum ke rumah suspek bersama rakan anaknya.
Sebaik tiba di rumah suspek yang juga sepupunya, didapati mangsa berada dalam bilik mandi dalam keadaan bogel.
"Mangsa menceritakan kepada rakannya suspek yang dipanggil 'Pak Long' itu membuka baju dan merogolnya.
"Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis bagi tindakan lanjut kerana bimbang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sazalee berkata, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu tinggal bersendirian di rumah berkenaan manakala isteri dan anaknya menetap di Georgetown.
Katanya, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu tidak pernah bersekolah dan tinggal bersama ibu, adik beradik serta keluarga sepupunya.
"Kejadian terakhir berlaku di ruang tamu rumah berkenaan pada Ahad lalu dan ia dipercayai berlaku lebih daripada sekali.
"Tetapi mangsa tidak dapat nyatakan berapa kali berlaku dengan suspek kerana berstatus OKU masalah pembelajaran sejak kecil serta tidak mampu beri keterangan yang jelas," katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa pergi ke rumah suspek seorang diri dengan berjalan selepas keluarganya ke tempat kerja.
"Mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan suspek sudah ditahan pada hari yang sama serta mengaku melakukan perbuatan itu," katanya.