
Keadaan banjir setinggi dua kaki yang melanda kawasan SK Pengarah Enteri, Ulu Teru, Tinjar, Baram pagi tadi. - Gambar APM
MIRI: Hujan lebat yang turun secara berkala sejak kelmarin telah menyebabkan lima kawasan termasuk sebuah sekolah di kawasan Ulu Teru, Tinjar, Baram dinaiki air antara satu hingga dua kaki pagi tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri, lima kawasan yang terjejas adalah SK Pengarah Enteri yang dinaiki air setinggi dua kaki, Rumah Rendah, Kampung Matek; Rumah Kalong, Tanjung Rian; Rumah Abok, Kampung Mulong dan Rumah Takang, Kampung Empelam masing-masing dinaiki air setinggi satu kaki.
Terdahlu katanya, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 9.20 pagi semalam sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi telah bergerak ke lokasi untuk melakukan pemantauan di kawasan yang dilaporkan dinaiki air.
"Hasil pemantauan yang dilakukan pagi ini, kita dapati lima kawasan terbabit telah dinaiki air antara satu hingga dua kaki.
"Kenaikan air ini berlaku akibat daripada hujan lebat yang turun secara berkala bermula semalam (7 Mac) sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan. Walaupun demikian kata Mirwan, tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk di kawasan terjejas dan sekitarnya supaya sentiasa peka terhadap trend air yang kini menaik meskipun cuaca mendung serta berpindah segera sekiranya keadaan tidak selamat.
"Setakat ini, sekolah masih beroperasi seperti biasa dan keadaan masih terkawal dan selamat," ujar beliau lanjut.
|