SETIAP kali Aidilfitri, kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira kerana berpeluang untuk menziarahi ahli keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan.
Bagi kanak-kanak yang berpuasa, lebaran adalah hari yang dinantikan bagi meraikan 'kejayaan' mereka berpuasa Ramadan, tidak kira puasa penuh ataupun puasa separuh sebagai latihan.
Perunding Keibubapaan Noor Afidah Abu Bakar berkata, dalam kemeriahan dan kegembiraan menyambut perayaan, adalah penting untuk ibu bapa memastikan keselamatan anak-anak.
Beliau berkongsi beberapa panduan yang perlu dititikberatkan ibu bapa ketika berhari raya.
1. Sediakan ruang yang selamat untuk kanak-kanak bergembira dan berkumpul
Biarpun sibuk melayan tetamu atau makan, ibu bapa perlu memantau keadaan anak-anak yang bermain bunga api. Pastikan ada orang dewasa bersama-sama dengan kanak-kanak ketika bermain.
2. Sentiasa ambil pengajaran daripada insiden membabitkan kanak-kanak
Apabila berkumpul berhampiran kawasan tadahan air seperti sungai, terusan ataupun laut, pantau kanak-kanak supaya tidak terlepas pandang keberadaan mereka. Kita sering dikejutkan dengan insiden kemalangan akibat permainan mercun dan kejadian lemas ketika musim perayaan. Ambil pengajaran daripada insiden yang pernah berlaku. Ibu bapa perlu peka dan tidak alpa.
3. Elakkan daripada menyentuh bayi dan kanak-kanak
Sistem pertahanan badan bayi dan kanak-kanak masih lemah. Sekiranya ada ibu bapa yang keberatan untuk bayi atau anak mereka disentuh, didukung, disuap makanan dan sebagainya, fahami kerisauan ibu bapa ini mengenai kesihatan dan kesejahteraan anak mereka. Tidak perlu berkecil hati ataupun menyindir ibu bapa ini. Mereka melakukan apa yang terbaik untuk anak-anak mereka.
4. Ingatkan anak-anak berkenaan sebarang jenis sentuhan
Ingatkan kanak-kanak mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat supaya mereka tahu batasan sentuhan orang lain terhadap mereka. Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini menimpa kanak-kanak pada bulan yang mulia ini, apatah lagi sekiranya ia berlaku kerana ibu bapa sendiri tidak cakna akan keselamatan fizikal dan seksual anak-anak.
5. Ibu bapa perlu menjadi pembimbing tingkah laku anak-anak
Sudah menjadi fitrah atau sifat semula jadi kanak-kanak suka bermain dan meneroka untuk mencuba sesuatu yang baharu. Oleh itu, ibu bapa perlu membantu anak bertindak dan berkelakuan sesuai dengan tempat dan keadaan supaya Aidilfitri dapat disambut dengan penuh kegembiraan. - Harian Metro
|