Kuala Lumpur: Tawar perkhidmatan perubatan terutama kepada warga asing dengan harga murah menggunakan khidmat doktor tidak bertauliah dengan pemeriksaan hanya dijalankan pada waktu malam.
Itu modus operandi klinik didalangi warga Pakistan dikenali 'Dr Maleeq' yang menawarkan khidmat rawatan serendah RM90 sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, kegiatan klinik haram terbabit terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua lokasi sekitar Selangor iaitu di Sungai Buloh dan Shah Alam, dan satu lokasi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, 11.20 malam kelmarin.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata,operasi itu membabitkan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai sebagai doktor tidak bertauliah dan dikenali sebagai 'Maleeq'.
Katanya, turut ditahan, tiga wanita warga Myanmar yang dipercayai sebagai pembantu klinik, seorang wanita warga Pakistan dan seorang warga India.
"Jumlah keseluruhan individu ditahan adalah enam orang, berusia dalam lingkungan 23 hingga 57 tahun.
"Semakan awal mendapati seorang lelaki warga Pakistan tinggal lebih masa, seorang wanita warga Myanmar menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), seorang wanita warga Myanmar memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan operasi menyita buku log pesakit, cop klinik, satu pasport Pakistan, satu pasport India, satu pasport Myanmar, peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit klinik dan baju pengamal perubatan untuk tujuan siasatan.
"Modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan perkhidmatan perubatan terutamanya kepada warga asing dengan harga murah.
'Klinik ini dipercayai menggunakan doktor yang tidak bertauliah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam sahaja dan beroperasi selama satu tahun.
"Bayaran dikenakan untuk setiap pesakit warga asing adalah sebanyak RM90, dan hanya boleh dilakukan secara dalam talian," katanya.
Katanya, kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.
"Seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Filipina diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terpelihara," katanya. - HARIAN METRO
|