Baling: "Saya sedih kerana cucu masih belum ditemui malah berdoa supaya Muhammad Fayyad Affan, 4, ditemui dengan segera kerana esok lusa dah nak sambut hari raya.
"Selagi tak jumpa, saya runsing memikirkan keadaan dia ketika ini kerana mungkin dia lapar dan nak minum susu," kata Aziz Saad, 60.
Aziz adalah datuk kepada Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang masih hilang selepas keluar dari rumahnya di Kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Kupang, di sini.
Kanak-kanak itu dipercayai hilang sekitar jam 12.50 tengah hari semalam dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya mendapati, dia berjalan kaki seorang diri.
"Kami memang selalu pantau pergerakannya dan selama ini dia tidak pernah keluar dari rumah seorang diri dan pergi sampai ke sungai itu.
"Malam tadi ketika pencarian cucu saya dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit di sini, ada yang mendakwa terdengar tangisan kanak-kanak di situ.
"Dan hari ini, mereka melakukan pencarian di kawasan itu, tetapi kelibat cucu saya tiada," katanya yang juga pesara operator loji JPS.
Aziz berkata, cucunya itu tinggal bersama ibu bapanya di rumah kuarters berkenaan malah dia sangat manja dan kalau dekat nak sambut hari raya, Muhammad Fayyad Affan paling seronok.
"Tahun ini nak sambut hari raya pun tak tahu lagi macam mana, selagi tak jumpa, saya rasa tak seronok.
"Semalam dia tinggal botol susu dia, dia hanya bawa buah..nampak dia dekat pagar dalam CCTV.
"Masa itu saya nak mandi pergi solat Jumaat, lepas itu tengok-tengok dia tak ada dan cari dia merata takut dia menyorok tapi tak jumpa dan bila tengok CCTV, nampak dia keluar, terus buat laporan polis," katanya.
Aziz berkata, segala persiapan baju raya cucunya itu sudah siap dibeli sebab dia cucu sulung dan mengalami masalah pertuturan serta kanak-kanak autisme.
"Dia hanya boleh sebut nak...nak saja..kalau dia nak bercakap pun lambat sikit.
"Semalam ada buat solat hajat supaya dipermudahkan urusan pencarian cucu saya itu," katanya.
Sementara itu bapa mangsa, Mohd Fakhri Abdul Aziz, 30, berkata, anaknya itu berkemungkinan keluar melalui celahan dinding dapur rumah mereka sebelum disedari hilang, semalam.
Katanya, rumah yang didiami mereka itu bersambung dengan rumah ibu bapanya dan terdapat ruang untuk ke bahagian belakang rumah itu yang hanya ditutup dengan sangkar kucing.
"Anak saya mungkin keluar melalui celahan dinding yang bersambung ini untuk ke rumah neneknya terletak bersebelahan rumah kami kerana pintu hadapan rumah memang bertutup untuk mengelakkan dia keluar," katanya.
Menurutnya, dia hanya menyedari anaknya hilang selepas bapanya bertanya padanya di mana Fayyad kerana waktu itu dia sedang tidur disebabkan bekerja pada waktu malam.
Katanya, ketika keluar, Muhammad Fayyad Affan memakai baju biru gelap serta seluar pendek biru muda dilihat berjalan dari belakang rumah dan keluar melalui pintu pagar.
"Saya dan isteri, Nur Atikah Yusuf, 27, sangat risaukan keadaan anak kami dan keselamatannya," katanya.