CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 160|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Kad raya sekeluarga lukisan Mohamad Fahmi buat kami hilangkan rindu' - Bapa

[Copy link]
Post time 26-3-2025 12:44 PM | Show all posts |Read mode
'Kad raya sekeluarga lukisan Mohamad Fahmi buat kami hilangkan rindu' - Bapa

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mac 26, 2025 @ 11:08am




Mohamad Fakhruddin dan Nuraini menunjukkan kad raya lukisan Mohamad Fahmi Hafiz, anak sulungnya yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal bulan lalu. - - Foto ZUHAINY ZULKIFFLI



BUTTERWORTH: "Anak sulung kami sudah berada di tempat yang baik, kena reda. Kami di sini mahu (beraya) dekat dengan pusara sebab kalau rindu, boleh terus ziarah," kata Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal bulan lalu.

Mohamad Fahmi Hafiz, 10, meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sungai Dua, Butterworth, bulan lalu.

Mohamad Fakhruddin, 35, berkata, Aidilfitri yang bakal menjelang disambut secara sederhana bersama isteri, Nuraini Mohamad Isa, 37, dan anaknya, Nufa Fakiha, empat tahun.

"Semakin teringat, semakin rindu. Sekarang kalau rindu pun, hanya boleh peluk baju, tak boleh peluk orangnya," katanya.

Beliau berkata, mereka tetap menyediakan pakaian raya buat anak kedua mereka itu.

"Mohamad Fahmi dilahirkan pada malam raya dan sebelum kejadian, dia meminta ibunya buat kuih siput kegemaran sebagai hidangan di Aidilfitri nanti.

"Sebelum ini, kami sudah menempah kemeja T bagi dipakai warna hijau bagi dipakai pada perjumpaan keluarga selepas hari raya ini.

"Ia baru disiapkan beberapa hari lalu dan hanya baju itu yang menjadi pengganti dirinya walaupun Mohamad Fahmi tidak sempat pakai," katanya ketika ditemui di rumah mereka, di Kampung Permatang Binjai, di sini, semalam.

Mohamad Fakhruddin berkata, sebelum kejadian, Mohamad Fahmi meminta dibelikan baju raya berwarna hijau selain berjanji mahu ajar anaknya berpuasa penuh.

"Baru-baru ini saya kemas bilik Mohamad Fahmi dan terjumpa kad raya yang dibuatnya mungkin pada tahun lalu, dia lukis gambar kami sekeluarga pada kad itu.

"Kami gambarkan yang di berada di tempat lain dan kad itu sebagai pengganti dirinya. Semua barangan, termasuk pakaian yang dipakai pada hari kejadian masih disimpan.

"Nufa Fakiha pula, jika ditanya mengenai abangnya, dia jawab sekarang abang ada di syurga," katanya.

Menurut Mohamad Fakhruddin, sehingga kini dia masih belum bekerja kerana fikirannya kerap terganggu teringatkan Mohamad Fahmi.

Mohamad Fakhruddin yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, mungkin kerana anak sulungnya itu lebih rapat dengannya berbanding ibu.

"Sebelum ini jika hujung minggu atau cuti sekolah, memang saya bawa Mohamad Fahmi hantar makanan dan kami jarang berenggang lama.

"Kalau Muhamad Fahmi tidak ikut, dia akan buat panggilan video bertanya sama ada saya sudah makan dan bagaimana keadaan kerja saya. Sekarang, nak tunggang motosikal pum tak boleh, saya jadi mengelamun macam hilang arah.

"Jadi saya ambil keputusan untuk tidak bekerja lagi pada masa ini, mungkin selepas hari raya jika fikiran saya sudah baik sedikit, saya akan bekerja semula," katanya.

Mohamad Fakhruddin berkata, dia tidak pasti sampai keadaannya begitu kerana kejadian itu berlaku dengan cepat.

"Orang nampak kita masih boleh tersenyum dan minta bersabar dengan ujian, tetapi kita hanya boleh dengar dan orang tak tahu sedihnya macam mana.

"Tambahan pula kucing kesayangan Mohamad Fahmi yang diberi nama 'Mimi' menghilang sebulan selepas kejadian.

"Merata kami cari kucing yang dibela sejak hampir lima bulan lalu itu sehingga tengah malam termasuk di kawasan pusara Mohamad Fahmi yang tidak jauh dari rumah," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1377137/kad-raya-sekeluarga-lukisan-mohamad-fahmi-buat-kami-hilangkan-rindu





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-5-2025 05:30 PM GMT+8 , Processed in 1.104126 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list