CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1732|Reply: 0

Wajib singgah! Ini 6 restoran saji makanan halal lazat sekitar Taipei, Taiwan

[Copy link]
Post time 25-3-2025 04:19 PM | Show all posts |Read mode

SIAPA sangka, mencari makanan halal di Taiwan bukanlah satu misi mustahil? Sebelum penulis melangkahkan kaki ke negara itu, sudah tentu makanan menjadi faktor yang paling penting untuk diambil kira.

Dengan perut yang asyik berbunyi dan selera yang tidak mengenal batas, penulis meneroka beberapa restoran halal di Taiwan yang dibawa oleh Salam Taiwan.

Berikut penulis senaraikan restoran yang menyediakan makanan Halal di sekitar Taiwan yang wajib disinggah.


1. Little India Restaurant – Ayam berasap, roti power!

Pada hari kedua, penulis dibawa makan tengah hari di Little India Restaurant di bandar Taichung dan percayalah, pengalaman di sini membuatkan penulis hampir lupa bahawa sedang berada di Taiwan!

Restoran ini bukan sahaja menyajikan hidangan India yang lazat, tetapi juga ada menyediakan ruang solat, sangat sesuai untuk pelancong Muslim yang mahu mengisi perut tanpa mengabaikan tanggungjawab.

Paling best, ayam yang dihidangkan terus dari kuali, masih berasap siap berbunyi desiran panasnya.

Roti yang dihidang boleh dikatakan menjadi menu kesukaan ramai kerana sangat lembut, ditambah lagi dengan kuahnya. Cukup untuk membuatkan penulis rasa seperti mahu tapau bawa balik!


2. Hsin Hotel – Makanan laut ada, itik pun ada!

Pada keesokan malamnya, penulis menjamu selera di restoran dalam Hsin Hotel yang terletak di bandar Chiayi. Jika sebelum ini terbiasa dengan ayam dan daging, kali ini hidangan makanan laut pula mendominasi meja.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah itik yang dihidangkan. Jarang dapat makan itik yang halal, jadi ini peluang keemasan!

Rasanya? Cukup lembut dan penuh perisa. Dengan kombinasi makanan laut segar, pengalaman makan malam ini memang penulis tidak dapat dilupakan.


3. Fresh Cuisine - Nasi kuning ke pulut?

Hari keempat membawa penulis ke Fresh Cuisine untuk makan malam dan inilah kali pertama penulis dihidangkan dengan nasi berwarna kuning. Untuk sesaat, penulis ingatkan ia adalah pulut kuning, ternyata tidak!

Bersama nasi ini, ada ayam, ikan dan sayur menjadikannya satu hidangan yang lengkap.

Bukan itu sahaja, malah ada telur dadar lagi dan ikannya sangat sedap. Penulis tidak pernah jumpa lagi hidangan sesedap ikan itu di Malaysia.

Makan dekat sini memang kenyang dan puas hati!


4. Mouna Restaurant - Aroma Maghribi

Hari kelima, perut penulis kembali merindui makanan Timur Tengah, jadi penulis dibawa untuk makan tengah hari di Mouna Restaurant di Taipei.

Selepas Little India Restaurant, restoran ini menjadi tempat makan paling penulis gemar.

Selain ruang makan yang luas dan selesa, restoran ini ada sijil halal, jadi bolehlah makan dengan aman tanpa ragu-ragu.

Hidangan di sini bertemakan makanan Maghribi dan Arab, jadi memang kaya dengan rempah dan rasa asli dari negara asal.

Lebih menarik, pemilik restoran, Mounia Elaychia, sudah lebih 20 tahun menetap di Taiwan dan berpengalaman dalam perniagaan makanan selama lebih 10 tahun!

Patutlah makanan di sini semua sedap-sedap sehingga ketika menulis artikel ini pun, penulis masih teringat-ingat.


5. Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant - Sempit, tetapi padu!

Selepas makanan Arab yang menyelerakan, tiba masa untuk mencuba mi daging lembu yang popular di Taiwan di Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant.

Sesampai sahaja di sini, penulis berpendapat, beratur mungkin menjadi tradisi setiap kedai makan yang menyajikan mee tarik.

Penulis ingatkan di Malaysia sahaja perlu beratur, di sini juga perlu menunggu giliran untuk menikmati hidangan tersebut kerana pelanggan memenuhi setiap ruang makan.

Tempatnya agak sempit, tetapi makanan di sini tetap menjadi kegemaran ramai.

Penulis sebenarnya tidak begitu menggemari daging, tetapi demi pengalaman, tekak pun diberi cabaran baharu.

Tidak sangka, tekak penulis boleh terima daging di sini. Jadi, buat anda yang tidak suka makan daging, mungkin boleh datang ke sini untuk cuba.

Kuah mi yang kaya dengan rempah dan mi yang kenyal memang satu kombinasi yang padu. Dumpling mereka juga sedap, rangup di luar, lembut di dalam.


6. Halaho Pickles - 'Nasi talam' Indonesia

Hari terakhir di Taiwan dan sebelum berlepas ke lapangan terbang, penulis sempat menikmati makan tengahari di Halaho Pickles yang terletak di Taoyuan.

Restoran ini terletak di pasar, jadi kalau tidak biasa, mungkin boleh sesat mencari jalan!

Hidangan utama di sini ialah Nasi Tumpeng, satu hidangan Indonesia yang lengkap dengan nasi kuning berbentuk kon dan aneka lauk-pauk.

Sewaktu hidangan dibawa ke meja, penulis terkejut melihat 'kemeriahan' lauk-pauk di sekeliling nasinya. Ia juga seakan nasi talam.

Tetapi yang paling menceriakan hati adalah layanan pemilik restoran yang sangat mesra!

Malah, penulis juga sempat menikmati teh tarik dan pencuci mulut sebagai hidangan penutup.

Memang satu pengalaman yang manis sebelum meninggalkan Taiwan.

Mencari makanan halal di Taiwan bukanlah satu kesukaran besar.

Dengan semakin tinggi kesedaran berkaitan Halal, kini banyak restoran menyajikan makanan halal muncul di Taiwan.

Jadi, pelancong Muslim boleh menikmati pelbagai hidangan tanpa ragu-ragu.

Dari ayam berasap, itik, mi daging lembu, hingga ke Nasi Tumpeng, pengalaman 'melahap' di Taiwan ternyata lebih menarik daripada yang penulis bayangkan!

Jadi, kalau ke Taiwan, jangan lupa singgah di restoran-restoran ini. Dijamin perut kenyang, hati senang! — Majoriti





This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 04:13 AM GMT+8 , Processed in 0.043699 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list