
SIBU: Sebanyak 22 jenis barangan ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Puasa 2025 bagi bahagian Sibu.
Menurut kenyataan media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pelaksanaan skim ini bermula dari 24 Mac hingga 7 April 2025, iaitu selama 15 hari, bagi memastikan kestabilan harga barang keperluan asas sepanjang musim perayaan.
“Antara barang yang dikawal harga maksimum termasuk daging lembu import, ikan kembung, ikan selayang, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, lobak merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, bawang merah kecil India (termasuk jenis Ros), bawang putih (China), ubi kentang import (China), halia tua import, kacang tanah, cili kering kerinting, kelapa biji, kelapa parut dan santan,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurut kementerian, mana-mana individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mereka juga boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama, denda sehingga RM500,000 atau kompaun maksimum RM250,000 boleh dikenakan.
“Selain itu, peniaga juga diwajibkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan di bawah skim kawalan harga ini.
“Gagal berbuat demikian boleh menyebabkan individu dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 manakala syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau kompaun RM10,000,” katanya.
KPDN turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga secara mendadak selepas skim ini berakhir.
Pengguna juga digalakkan untuk lebih peka terhadap hak mereka dan menyalurkan aduan jika mendapati ada peniaga yang melanggar peraturan skim ini.
Sebarang aduan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU atau laman web rasmi kementerian di e-aduan.kpdn.gov.my](https://e-aduan.kpdn.gov.my.
|