CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1783|Reply: 1

Gunung Fuji suntik inspirasi

[Copy link]
Post time 24-3-2025 01:47 PM | Show all posts |Read mode

IMEJ Gunung Fuji di barat daya Tokyo yang diliputi salji kerap menginspirasikan pelukis dan penyair. Malah ia menjadi identiti yang sinonim dengan Jepun sehingga diangkat sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada 2013.

Terletak di sempadan dua wilayah, Shizuoka dan Yamanashi, Gunung Fuji yang berketinggian 3,776 meter menjadi tarikan pelancong termasuk pendaki.

Tarikan umum terhadap Gunung Fuji sudah diketahui sejak sekian lama namun dengan pengaruh media sosial pada masa kini, lebih ramai orang menyerbu bandar peranginan Fujikawaguchiko, untuk mencari 'spot' terbaik merakamkan pemandangan Gunung Fuji.

Antara tempat terbaik dan popular yang selalu dikongsikan warganet menerusi media sosial untuk mengambil gambar Gunung Fuji termasuklah Tasik Kawaguchiko, Hakone, Kamakura dan Festival Fuji Shibazakura.

Malah, sebelum ini pernah tercetus insiden seorang pelancong bergambar dan merakamkan video Gunung Fuji hingga mencetuskan ketidakselesaan penduduk tempatan malah mengganggu lalu lintas di bandar itu. Ia kemudiannya menyebabkan pihak berkuasa Jepun terpaksa mengambil tindakan dengan memasang penghadang di lokasi kejadian.

Bagaimanapun langkah itu sedikitpun tidak menghalang ribuan pengunjung bertandang ke Tokyo. Sebaliknya, mereka masih teruja untuk berkunjung ke Fujikawaguchiko dan merakamkan visual cantik Gunung Fuji.


Salji di puncak

Kesempatan ke Tokyo pada akhir musim luruh baru-baru ini, penulis turut merasai pengalaman melihat pemandangan Gunung Fuji dengan puncaknya diselimuti salji.

Sebelum terbang ke sana penulis berasa sedikit rasa kecewa apabila membaca ramalan cuaca, salji dijangka tidak turun seperti lazimnya pada setiap awal Oktober. Namun, rezeki menyebelahi. Sebaik mendarat di Tokyo, keinginan melihat puncak Fuji dibalut salji meluap-luap.

Penulis menggunakan khidmat sebuah agensi pelancongan dibawa ke Tasik Kawaguchiko iaitu antara lima tasik sekitar Fuji yang paling banyak dikunjungi pelancong. Tasik itu dicatatkan sebagai antara satu daripada 36 lokasi dengan pemandangan Gunung Fuji yang terbaik.

Maka tidak hairan apabila penulis tiba di tasik itu, ribuan pengunjung dari pelbagai negara termasuk rakyat tempatan berpusu-pusu mencari sudut menarik untuk bergambar. Kelihatannya masing-masing berlumba untuk memuat naik video dan visual dalam media sosial masing-masing. Ramainya pengunjung menyebabkan tahap kesabaran sedikit menurun, tambahan pula Gunung Fuji tidak akan nampak jelas sekiranya cuaca kurang baik, tetapi syukur matahari memancar dengan sangat terang dan langit kebiruan menjadikan suasana sangat cantik.

Apatah lagi rakan-rakan seperjalanan mempunyai asas fotografi, jadi mereka mampu merakamkan gambar Gunung Fuji dengan baik tanpa perlu menghabiskan masa yang lama di situ.

Gangguan pelancong

Rupanya, dalam perjalanan ke lokasi lain, kami masih dapat melihat dengan jelas wajah Gunung Fuji termasuk ketika melalui kawasan perumahan penduduk. Dari situ, kami mulai faham mengapa penduduk setempat kurang selesa dengan sikap sesetengah pelancong yang merakamkan keindahan Gunung Fuji tetapi di lokasi kurang sesuai, seperti insiden di hadapan kedai serbaneka yang tular baru-baru ini.

Penulis sempat melalui kawasan kedai serbaneka itu dan mendapati penghadang yang dipasang sudah diturunkan, menjadikan ia kembali diserbu tetapi kali ini dalam keadaan lebih sistematik apabila semuanya beratur menunggu giliran.

Tindakan menurunkan penghadang berkenaan berkemungkinan dibuat susulan kritikan yang diterima memandangkan antara tujuan kebanyakan pengembara ke Tokyo, adalah merakamkan keindahan Gunung Fuji, selain melihat kota dan bandar.

Jika anda ingin menikmati keindahan Gunung Fuji dari Tasik Kawaguchiko, caranya mudah. Dari Tokyo, anda sebenarnya boleh memandu sendiri. Ia hanya mengambil masa selama dua jam namun mungkin boleh melebihi empat jam jika berdepan kesesakan lalu lintas. Jika tidak mahu memandu, boleh saja menaiki kereta api dan bas.

Bagaimanapun, perancangan dari sudut masa perlu dititikberatkan sekiranya tidak mahu terlepas waktu-waktu ideal yang disarankan bagi memastikan anda dapat merakamkan keindahan wajah Gunung Fuji dengan lebih baik.


Sumber: BH Online

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 19-4-2025 08:21 PM From the mobile phone | Show all posts
Nk pegi bln depan. Cant wait. Nak shopping juga
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 04:41 AM GMT+8 , Processed in 0.053476 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list