Jerebu teruk di Lapangan Terbang Don Mueang, Thailand memaksa beberapa penerbangan dilencongkan. - Foto AGENSI
BANGKOK: Beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Samut Prakan kerana jarak penglihatan terjejas teruk akibat jerebu di Thailand sejak pagi semalam.
Ia berikutan Lapangan Terbang Don Mueang melaporkan jarak penglihatan sekitar lapangan terbang merosot kepada 150 meter pada jam 7 pagi.
Laman sesawang Kualiti Udara Bangkok yang dikendalikan oleh Pentadbiran Metropolitan Bangkok, melaporkan pada pagi semalam bahawa jerebu di beberapa kawasan di Bangkok direkodkan pada tahap PM2.5.
Kadar itu menandakan pencapaian tahap yang diklasifikasikan sebagai berbahaya kepada kesihatan, dengan purata kepekatan 56.1 mikrogram bahan cemar per meter padu di udara.
Beberapa penerbangan yang memilih mendarat di Lapangan Terbang Don Mueang terpaksa berlegar di udara sementara menunggu penglihatan beransur baik sebelum melakukan pendaratan.
Kira-kira jam 11 pagi semalam, tahap PM2.5 di Lapangan Terbang Don Mueang diukur pada 64.7 mikrogram per meter padu udara. Masalah pencemaran teruk turut mendorong Jabatan Kesihatan Thailand meningkatkan bilangan restoran dengan bilik kalis debu kepada 20,000 premis di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan, bermula semalam.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Thiti Sawaengtham, berkata ketika ini terdapat 234 restoran di sembilan negeri yang mempunyai bilik kalis debu.
Beliau berkata, pihaknya berusaha meningkatkan kemudahan bilik berkenaan supaya pelanggan yang risau atau bimbangkan kesihatan mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan.
Katanya, sebagai permulaan, pihaknya akan melatih pemilik lebih daripada 50 restoran di Bangkok dan negeri-negeri berdekatan mengenai cara untuk menyediakan bilik kalis debu sebagai perkhidmatan untuk pelanggan.
Dr Thiti berkata, pihaknya kemudian akan menyediakan latihan kepada pengusaha restoran di Phuket dan Chiang Mai.
Kempen menggalakkan restoran menyediakan kemudahan bilik kalis debu adalah sebahagian daripada inisiatif Jabatan Kesihatan Thailand yang lebih luas untuk mewujudkan ruang kalis debu di kawasan awam, berikutan pencemaran teruk PM2.5 baru-baru ini di beberapa wilayah.
Katanya, pihaknya juga sudah memastikan semua hospital wilayah dan hospital am menyediakan kemudahan kalis debu untuk pesakit mereka.
Selain itu, pihaknya juga berkempen untuk semua hospital komuniti untuk menyediakan bilik kalis debu.
Jabatan Kesihatan Thailand juga melancarkan kempen menggesa taska dan sekolah menyediakan kemudahan kalis debbu untuk kanak-kanak serta pelajar.
Dr Thiti menjelaskan, sesuatu bilik kalis debu memerlukan empat langkah utama iaitu menghalang habuk luar daripada memasuki bilik dan mencegah pengumpulan habuk pada dinding, bahan, peralatan serta permukaan.
Langkah ketiga ialah mengeluarkan zarah debu dari dalam bilik dan mengelakkan aktiviti yang menghasilkan habuk di dalam bilik seperti membakar kemenyan atau merokok. - AGENSI
|