CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6074|Reply: 0

Queensland dilanda banjir besar, seorang maut, ribuan diarah berpindah

[Copy link]
Post time 2-2-2025 05:56 PM | Show all posts |Read mode


SYDNEY: Banjir besar yang melanda Queensland utara hari ini meragut satu nyawa dan memaksa pihak berkuasa Australia mengarahkan ribuan penduduk berpindah ke tempat lebih tinggi akibat hujan lebat.

Pihak berkuasa Queensland memaklumkan banjir besar berlaku dekat pesisir pantai Hinchinbrook Shire yang memiliki kira-kira 11,000 penduduk, sebuah kawasan terletak kira-kira 500 kilometer (km) dari utara ibu negeri, Brisbane.

Pekan Giru dengan 387 penduduk yang terletak berhampiran bandar Townsville juga terjejas.

Biro Meteorologi hari ini memaklumkan beberapa bahagian utara di Queensland menerima lebih 600 millimeter (mm) hujan dalam tempoh 24 jam lalu, sambil meramalkan hujan lebat akan berterusan.

"Penduduk di kawasan tanah rendah harus mengumpulkan kit pemindahan mereka dan berpindah ke tempat yang selamat di kawasan lebih tinggi. Keadaan ini mungkin menimbulkan ancaman kepada nyawa dan harta benda," kata pihak berkuasa pengurusan kecemasan serantau pagi tadi.

Perdana Menteri Queensland, David Crisafulli, dalam temu bual yang disiarkan di televisyen mengesahkan seorang wanita meninggal dunia apabila sebuah bot perkhidmatan kecemasan yang dinaikinya terbalik, di pekan luar bandar Ingham, dekat utara Townsville.

Bot terbabit yang membawa enam penumpang, terbalik selepas melanggar pokok, namun lima mangsa berjaya diselamatkan.

"Hujan lebih lebat diramalkan. Mohon ambil langkah berjaga-jaga, bersedia untuk menghadapi cuaca buruk. Dengar nasihat. Tolong jangan abaikan mesej ini," katanya.

Memetik laporan stesen penyiar televisyen Australian Broadcasting Corporation (ABC), Lapangan Terbang Townsville akan ditutup kerana cuaca buruk yang ketara.

Kumpulan Pengurusan Bencana Tempatan Townsville pula memaklumkan kebanyakan penduduk di enam kawasan yang membentuk 'zon hitam' banjir sudah pun dipindahkan seperti dikehendaki.

Mengesahkan perkara itu, pengerusi kumpulan terbabit, Andrew Robinson, memberi amaran kepada mereka yang belum berpindah sambil memberi peringatan kepada mereka berbuat demikian kerana bimbang jalan keluar masuk kemungkinan terhalang.

Pada masa sama, Kerajaan Persekutuan dan negeri turut mengaktifkan bantuan bagi menampung kos membayar kerja-kerja pembaikan dan menghubungkan semula perkhidmatan penting sebaik saja banjir mula surut.

Selain menjejaskan kehidupan manusia, banjir juga memberi kesan kepada hidupan liar di kawasan berkenaan apabila wartawan ABC di lapangan berkongsi gambar seekor walabi berlindung di atas sebuah rumah di selatan Townsville. - AGENSI


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2025 02:39 PM GMT+8 , Processed in 0.092118 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list