Edited by tari at 28-1-2025 10:22 AM
Ribuan mangsa diseludup masuk ke pusat scam tersebut yang terletak di sempadan Thailand-Myanmar.
BEIJING - Insiden penculikan dan operasi penyelamatan rentas sempadan meninggalkan pengalaman mengerikan buat aktor dari China, Wang Xing. Mangsa yang berusia 31 tahun terbang ke Bangkok pada awal bulan lalu selepas mendapat tawaran untuk menjalani penggambaran di Thailand.
Rupa-rupanya, Xing ditipu sindiket jenayah seperti ratusan lain yang terpedaya dengan kerja yang kononnya boleh menjana pendapatan lumayan. Dia diculik dan dipaksa bekerja di salah sebuah pusat penipuan dalam talian terletak di sempadan Thailand-Myanmar. Wang Xing mendedahkan dia dipaksa menjalani latihan untuk menjadi scammer di markas sindiket tersebut di Myanmar. Xing bernasib baik selepas teman wanitanya, Jiajia mendedahkan penculikan itu dan turut melancarkan kempen media sosial untuk membawanya pulang ke Beijing serta mendapat sokongan banyak pihak termasuk selebriti.
Selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand pada 7 Januari lalu, keluarga mangsa yang lain mula berkongsi kisah mereka demi meraih perhatian umum terhadap sindiket scammer tersebut.
Dalam tempoh beberapa hari, rekod menunjukkan hampir 1,800 warga China diculik ke Myanmar dari sempadan Beijing dan Bangkok.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menunjukkan ratusan ribu mangsa telah diseludup masuk ke pusat scam di Asia Tenggara sejak pandemik Covid-19.
Industri yang menipu orang ramai di seluruh dunia itu turut meraih berbilion dolar setahun untuk aktiviti jenayah terancang yang sebahagian besarnya melibatkan warga China.
Pada Jumaat lalu, Kementerian Keselamatan Awam China memaklumkan ia menggiatkan usaha untuk menjejaki pusat scam tersebut dan menyelamatkan mangsa.
Stesen penyiar tempatan melaporkan Beijing telah mencapai konsensus bersama Thailand dan Myanmar untuk memberkas ketua sindiket tersebut dan menghapuskan pusat scam tersebut.
Lebih 1,200 scammer diberkas di Myanmar dan dihantar pulang ke Myanmar pada September 2023. Aduan tidak diterima
Kira-kira 93 peratus daripada 1,800 mangsa dikenal pasti di bawah kempen 'Star Homecoming' itu ialah lelaki dan dengan purata usia 27 tahun.
Majoritinya adalah mereka yang berumur 15 dan 45 tahun.
Kebanyakan mangsa berdepan masalah kewangan, menyara hidup sebagai pekerja ekonomi gig, kehilangan pekerjaan dalam industri pembinaan di tengah-tengah kemerosotan di seluruh negara.
Undang-undang China tidak menganggap golongan lelaki sebagai mangsa berpotensi sindiket pemerdagangan manusia.
Hal itu menyebabkan kira-kira separuh daripada keluarga mangsa tidak dapat memfailkan aduan orang hilang kepada pihak berkuasa.
“Polis maklumkan laporan orang hilang hanya untuk wanita dan kanak-kanak,” kata seorang wanita yang kehilangan suami setelah dia menerima tawaran kerja sebagai scammer kerana mahu melangsaikan hutang.
Seorang lagi ahli keluarga mangsa mendakwa pihak berkuasa enggan menerima aduan tersebut kerana suaminya melakukan perjalanan dengan pasport yang sah.
Ketika ini, mereka berharap kes itu akan mendapat perhatian pemerintah dan membawa pulang kesemua mangsa.
Pada minggu lalu, Kementerian Luar China menggesa negara-negara di Asia Tenggara supaya mengambil langkah membanteras sindiket penipuan dalam talian tersebut yang didakwa turut melakukan penderaan fizikal dan mental yang teruk serta mengurung mangsa. - Agensi
|