Mukesh Chandrakar. - Foto AGENSI
NEW DELHI: Pihak pemantau media India menuntut siasatan menyeluruh selepas mayat seorang wartawan yang dipukul ditemui disumbat dalam tangki septik yang ditutup dengan konkrit.
Wartawan bebas, Mukesh Chandrakar, 28, melaporkan secara meluas mengenai rasuah dan pemberontakan Maois selama berdekad di negeri Chhattisgarh, tengah India dan mengendalikan saluran YouTube popular 'Bastar Junction'.
Majlis Akhbar India dalam kenyataan semalam, menyatakan 'kebimbangan' terhadap kematian Chandrakar yang dipercayai dibunuh dan menggesa laporan mengenai 'fakta kes'.
Mayat Chandrakar ditemui pada 3 Januari lalu selepas polis mengesan rekod telefon bimbitnya susulan laporan kehilangan wartawan itu oleh keluarganya. Tiga individu ditahan susulan penemuan mayat berkenaan.
Lebih 10,000 orang terkorban dalam pemberontakan selama beberapa dekad yang dilancarkan pemberontak Naxalite, yang mendakwa memperjuangkan hak orang asli yang terpinggir di wilayah tengah India yang kaya dengan sumber.
Ketua Menteri Chhattisgarh, Vishnu Deo Sai dari Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah, menyifatkan kematian Chandrakar sebagai 'menyayat hati' dan menjanjikan 'hukuman paling keras' bagi mereka yang didapati bertanggungjawab.
India berada di kedudukan ke-159 pada tahun lalu dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia, dikendalikan Reporters Without Borders.
|