KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan 2025 diharapkan dapat mengeratkan perpaduan rakyat negeri ini.
Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bersama-sama masyarakat juga dipohon untuk saling hormat-menghormati budaya, agama, bangsa yang pelbagai di Sabah.
"Sempena dengan perayaan Pesta Kaamatan tahun ini, saya dan pimpinan WARISAN ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan Pesta Menuai kepada seluruh masyarakat Sabah khususnya dan Malaysia amnya.
"Saya berharap perayaan kali ini akan membawa banyak manfaat kepada rakyat Sabah kerana tahun ini juga tahun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah," katanya dalam perutusan Pesta Kaamatan 2025 di sini, hari ini.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Pesta Kaamatan tahun ini.
"Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak seluruh pimpinan WARISAN ingin mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan, kotuhadan," katanya. - UTUSAN BORNEO
|