KUCHING: Penambahan bilangan ahli majlis di majlis bandar raya dan perbandaran daripada 30 kepada 33 orang berpotensi meningkatkan tadbir urus, memperkukuh perwakilan dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam.
Wilfred Yap (GPS-Kota Sentosa) yang menyokong Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 berkata, langkah tersebut membuka ruang kepada perwakilan yang lebih inklusif dan menyeluruh dalam menangani pelbagai isu tempatan.
“Dengan nisbah ahli majlis kepada penduduk yang lebih rendah, setiap komuniti termasuk kejiranan, kumpulan berkepentingan dan golongan terpinggir akan mempunyai suara lebih bermakna dalam proses membuat keputusan kerajaan tempatan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) har ini.
Beliau menegaskan bahawa ahli majlis berperanan sebagai penghubung penting antara rakyat dan kerajaan tempatan, justeru penambahan tiga ahli majlis akan memperluas saluran komunikasi serta mempercepat respons terhadap isu setempat seperti pembaikan jalan, sistem perparitan, sanitasi dan keselamatan awam.
“Dengan peningkatan kepada 33 ahli majlis, beban kerja dapat diagihkan dengan lebih seimbang, sekali gus mengurangkan keletihan dan meningkatkan produktiviti.
“Malah, ia juga membolehkan pelbagai pandangan dan idea diketengahkan dalam Mesyuarat Majlis, menghasilkan dasar yang lebih holistik serta mencerminkan pelbagai kehendak dan keperluan masyarakat,” katanya.
Selain itu katanya, bilangan ahli majlis yang lebih ramai dapat memperkukuh mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan tempatan.
“Pemantauan yang lebih rapi terhadap belanjawan, projek dan pengurusan mampu mengurangkan risiko salah urus dan penyelewengan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Lo Khere Chiang (GPS-Batu Kitang) yang turut menyokong Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 menyifatkan ia sebagai undang-undang penting dan tepat pada masanya.
Menurut beliau, pindaan ini memastikan kerangka kerajaan tempatan kekal jelas, responsif dan selaras dengan perubahan landskap pentadbiran di Sarawak.
Menurutnya, salah satu aspek penting dalam pindaan ini ialah pengiktirafan rasmi terhadap tiga majlis perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
Sehubungan itu katanya, langkah ini dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan kekaburan perundangan dan memperkukuh status sah ketiga-tiga majlis sebagai entiti tunggal berkuasa perbandaran.
“Kita perlu mencerminkan realiti pentadbiran semasa. Majlis-majlis ini telah lama beroperasi, menguruskan populasi bandar yang semakin berkembang dengan tanggungjawab semakin luas.
“Pengiktirafan dalam Ordinan memberikan kuasa bukan sahaja secara pentadbiran tetapi juga secara statutori, sekali gus memperkukuh legitimasi dan mempercepat penyampaian perkhidmatan awam,” jelas Lo.
|