Butterworth: Kesesakan di klinik kesihatan dan hospital di negeri ini mampu ditangani bukan dengan pembinaan bangunan baharu atau penambahan katil, sebaliknya memerlukan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata, gaya hidup sihat mampu mencegah diri daripada sebarang penyakit sekali gus mengelak berkunjung ke klinik kesihatan dan hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Jika kita lihat pada aduan yang diterima, sering kali ia berhubung aduan kesesakan di fasiliti atau kemudahan kesihatan.
"Sebenarnya, penyelesaian kepada kesesakan ini bukan dengan membina lebih banyak fasiliti kesihatan seperti menambah katil kerana itu bukan cara penyelesaian.
"Tetapi, kalau kita nak mengatasi masalah ini adalah dengan menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Sekiranya kesihatan baik, kita tak perlu hadir ke fasiliti kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program 'I Fit Eat Right' (IFitER) Media Mutiara Sihat sempena sambutan Ulang tahun Kelab Media Mutiara Pulau Pinang ke-10 di Klinik Kesihatan Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Katanya, pemupukan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat adalah matlamat utama Kementerian Kesihatan (KKM).
"Sebab itu ia dinamakan KKM dan bukan Kementerian Perubatan kerana tugas hakiki kita sebenarnya bukan untuk berubat, tetapi memupuk gaya hidup lebih sihat.
"Bila kita sihat, bebas dari sebarang penyakit maka kita tidak perlu berubat dan aduan berhubung kesesakan dapat ditangani," katanya.