Georgetown: Lelaki tempatan yang mati berbalas tembakan dengan polis di Lintang Bukit Jambul di sini, semalam adalah ketua geng samun, pecah rumah dan dobi layan diri di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya kini sedang memperkemaskan siasatan dengan merakam keterangan seramai lapan ahli geng yang berjaya diberkas semalam susulan kes tembak itu.
"Kes tembak semalam dikira selesai dan suspek yang mati itu adalah 'mastermind' bagi geng samun membabitkan beberapa kes di negeri ini. Dia adalah 'kepala' segala-galanya.
"Ketika ini, kita sedang rakam keterangan kesemua suspek yang ditahan semalam bagi melengkapkan siasatan.
"Selain itu, kita juga sedang mengesan saki baki ahli geng sama yang dipercayai masih bebas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang lelaki tempatan yang terbabit dalam kes samun dan pecah kedai dobi layan diri membabitkan kerugian RM500,000 di sekitar negeri itu mati berbalas tembakan dengan polis, dalam kejadian pada jam 4.03 pagi.
Suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu turut mempunyai sebanyak 34 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan narkotik.