Polis Kedah rampas bunga ganja bernilai RM1.6 juta
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mei 15, 2025 @ 5:25pm

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menunjukkan dadah di rampas seberat 45.5kg bernilai lebih RM1.6 juta di IPK Kedah. - Foto WAN NABIL NASIR
ALOR SETAR: Polis Kedah membongkar sindiket pengedaran dadah susulan penahanan empat individu dan merampas 80 peket daun kering dipercayai bunga ganja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh, berkata kegiatan sindiket itu terbongkar selepas dua transporter iaitu seorang lelaki tempatan dan seorang warga Thailand ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Narkotik Kedah menahan sebuah trak pikap Isuzu yang didaftarkan di Thailand jam 5 petang di kompleks itu.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan itu, pegawai dan anggota kami menemui dua bagasi di ruang belakang kenderaan itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, setiap bagasi itu masing-masing mengandungi 40 peket daun kering dipercayai bunga ganja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.
Fisol berkata, secara keseluruhan, semuanya berjumlah 80 paket bunga dadah yang dirampas iaitu seberat 45.5kg, dengan anggaran nilai lebih RM1.623 juta.
Beliau berkata, ini adalah rampasan pertama bunga ganja gred tinggi oleh Polis Kontinjen Kedah.
"Berbanding ganja mampat biasa, bunga kanabis adalah jauh lebih mahal, bernilai kira-kira RM36,000 sekilogram.
"Suspek warga tempatan berusia 29 tahun yang mempunyai rekod penyalahgunaan dan pengedaran dadah itu mengaku bertindak sebagai transporter sindiket berkenaan.
"Lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mengaku menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok di Kelantan beberapa kali," katanya.
Fisol berkata, suspek dipercayai dibayar antara RM1,000 dan RM2,000 setiap perjalanan manakala warga Thailand itu yang berusia 50-an dan pemandu teksi dari Pekan Dannok, Thailand didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
"Ganja yang dirampas itu bertujuan untuk diedarkan di Lembah Klang dan Johor, yang berpotensi membekalkan kira-kira 30,000 pengguna dadah.
"Susulan penahanan itu, polis Kedah membawa kepada penahanan ketua sindiket yang disyaki di Johor.
"JSJN Johor kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun," katanya.
Fisol berkata, pemeriksaan latar belakang mendapati lelaki itu mempunyai tujuh kesalahan berkaitan narkotik dan dua lagi rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun katanya, wanita itu tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-duanya akan dipindahkan ke Kedah untuk siasatan lanjut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/05/1396334/polis-kedah-rampas-bunga-ganja-bernilai-rm16-juta
|