CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30|Reply: 0

[Sabah] Beluran sasar jadi destinasi baharu pelancongan luar bandar

[Copy link]
Post time 14-5-2025 11:20 PM | Show all posts |Read mode


BELURAN: Daerah Beluran kini giat merangka strategi untuk menarik pelancong, dalam usaha mengangkat potensinya sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang baharu di Sabah.


Persatuan Pelancongan Daerah Beluran, yang ditubuhkan pada 2019, menjadi pemacu utama kepada inisiatif ini. Selepas kembali aktif tahun lalu, persatuan memberi tumpuan kepada pembangunan pelan pelancongan berasaskan alam semula jadi, warisan budaya, dan penglibatan komuniti setempat.


Setiausahanya, Erlyane Joan, berkata antara inisiatif yang sedang dijalankan termasuklah penganjuran kursus dan latihan bagi memperkasakan masyarakat tempatan dengan pengetahuan serta kemahiran pelancongan.


Menurut beliau, kursus “Pembangunan Pakej Pelancongan: Strategi Harga dan Pemasaran Digital” yang dianjurkan baru-baru ini merupakan antara usaha untuk membantu menjana ekonomi komuniti melalui aktiviti pelancongan seperti homestay, ‘campsite’, kraftangan dan makanan tradisional.


“Kami bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang banyak membantu dari segi promosi. Kursus ini bertujuan meningkatkan keupayaan peserta dalam merangka pakej pelancongan yang menarik dan berdaya saing, di samping menggalakkan penggunaan platform digital sebagai medium pemasaran utama.


“Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada strategi penetapan harga, teknik penyusunan itinerari, dan penggunaan media sosial. Mereka juga diberi ruang untuk membentangkan idea dan produk masing-masing,” katanya.


Selain memberi latihan, kursus ini juga bertujuan membuka mata komuniti tentang potensi ekonomi yang boleh diterokai jika sektor pelancongan daerah Beluran dibangunkan secara sistematik.




Terletak kira-kira 110 kilometer dari bandar Sandakan, daerah Beluran memiliki Khazanah semula jadi dan tapak warisan yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan.


Antara aset pelancongan yang dikenal pasti ialah laluan bersejarah ‘Kawat Maut’ di Sungai Muanad, Kampung Rampek, yang dipercayai merupakan laluan ketiga semasa era penjajahan Jepun.


“Setiap tahun, pelawat luar negara datang ke tugu ini, tetapi data tidak dapat direkodkan kerana belum wujud sistem pengurusan rasmi. Kini, persatuan sedang berusaha menaik taraf kawasan tersebut dan merancang sistem lawatan yang lebih teratur,” katanya.


Tambahnya, seramai 30 pelancong antarabangsa dijangka melawat lokasi itu secara rasmi pada 30 Oktober nanti, menjadikan mereka kumpulan pertama yang akan diuruskan secara sistematik oleh persatuan.


Selain itu, kekurangan kemudahan asas juga menjadi cabaran utama dalam mengembangkan potensi pelancongan di Beluran.


Antara lokasi berpotensi tinggi termasuk Air Terjun Mandagu, Pulau Gosong dan Gua Sam Manan, namun ketiga-tiganya hanya boleh diakses melalui pengangkutan air.


“Masalah utama ialah ketiadaan jeti pelancongan yang selamat dan sesuai. Jeti sedia ada sudah usang dan tidak direka untuk kegunaan pelancong. Persatuan juga belum memiliki bot sendiri, manakala pengangkutan komuniti amat terhad,” jelas Erlyane sambil menegaskan bahawa selagi isu asas ini tidak ditangani, Beluran belum bersedia menerima pelancong dalam jumlah besar secara konsisten.




Erlyane turut menyatakan bahawa Persatuan Pelancongan Daerah Beluran sangat mengalu-alukan sokongan pelbagai pihak dalam membangunkan sektor pelancongan yang inklusif dan mampan di Beluran, sekali gus membantu merancakkan ekonomi luar bandar.


“Kami percaya daerah Beluran mempunyai potensi setanding dengan daerah pelancongan lain di Sabah, asalkan wujud usaha bersepadu dari segi pengurusan, promosi dan penyediaan kemudahan asas.”


Terdahulu, seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada penggiat pelancongan, wakil komuniti, dan usahawan tempatan menyertai kursus “Pembangunan Pakej Pelancongan: Strategi Harga dan Pemasaran Digital”.


Majlis perasmian dan penutupan kursus tersebut disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Beluran, Gilbert Jussip.


Turut hadir, Penasihat Persatuan Pelancongan Daerah Beluran, Datuk Tan Yong Gee; Pengerusi Persatuan Pelancongan Daerah Beluran, Ricky Tan; serta wakil dari STB, Dexter Randy. - SABAH MEDIA





This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-5-2025 06:28 PM GMT+8 , Processed in 0.064747 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list