CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 219|Reply: 1

Antara pulau, adat budaya & komodo

[Copy link]
Post time 13-5-2025 03:54 PM | Show all posts |Read mode


Labuan Bajo? Belah mana tu? Wilayah Persekutuan Labuan ke?


Itu antara pertanyaan beberapa rakan dan ahli keluarga apabila diberitahu saya ingin berkunjung ke sana. Ternyata Labuan Bajo masih asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia walaupun kian ramai menjadikannya destinasi untuk melancong.


Labuan Bajo ialah bandar nelayan di hujung barat pulau besar Flores di wilayah Nusa Tenggara di timur Indonesia. Ia bandar utama bagi Kabupaten Manggarai Barat, satu daripada lapan kabupaten (daerah) yang juga bahagian pentadbiran utama Flores.


Kunjungan saya dan isteri ke Labuan Bajo pada 22 hingga 26 April lalu bermula dengan melawat Gua Batu Cermin sebaik tiba di Lapangan Terbang Komodo dengan dari KLIA Terminal 2 yang mengambil masa kira-kira tiga setengah jam. Buat masa ini hanya AirAsia sahaja yang melakukan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Labuan Bajo.


Kami dijemput pemandu yang diuruskan terlebih dahulu di Malaysia. Kami menggunakan khidmatnya sepanjang berada di Labuan Bajo. Gua seluas kira-kira 19 hektar itu mendapat nama kerana sinar matahari yang masuk ke dalam sela-sela gua dan memantul ke batu lainnya seakan-akan cermin.




Kami menghabiskan kira-kira sejam di sana sebelum makan malam sambil menyaksikan panorama matahari terbenam di Puncak Waringin dan seterusnya ke hotel penginapan.


Keesokan harinya, seawal jam 7 pagi kami ke jeti Labuan Bajo untuk aktiviti di laut atau 'island hopping' dengan berlayar ke beberapa pulau bermula Pulau Padar diikuti Pantai Merah Jambu, Pulau Komodo, snorkeling di Mata Makasar dan Mata Manta serta Pulau Kanawa.


Bot laju ke destinasi pertama, Pulau Padar mengambil masa kira-kira 45 minit. Pulau Padar ialah lokasi wajib andai berkunjung ke Labuan Bajo, satu tempat yang sungguh indah dan mempesonakan!



Pulau seluas sekitar 173,300 hektar ini diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Pengunjung ke sana berpeluang melihat panorama menakjubkan dari puncak tertinggi di pulau itu dengan mendaki lebih 800 anak tangga.


Seterusnya kami kembali ke bot dan singgah di Pantai Merah Jambu (Pink Beach) yang begitu indah dengan pasir pantai berwarna merah jambu.


Suatu yang menarik apabila di Pulau Padar dan Pantai Merah Jambu kita boleh melihat rusa liar berkeliaran di tepian pantai, suatu perkara yang tidak kita lihat di Malaysia.




Kemudian kami meneruskan pelayaran termasuk pulau yang saya kira antara yang paling utama jika ke Labuan Bajo iaitu ke Pulau Komodo, tempat tinggal biawak terbesar di dunia, dikenali sebagai Dragon Komodo atau Naga Komodo.


Biawak komodo hanya boleh ditemui di Pulau Komodo, Pulau Rinca, Flores dan Gili Motang di Indonesia.


Menurut renjer di Taman Negara Komodo, ada pengunjung yang tidak bernasib baik apabila tidak dapat melihat komodo kerana bukan sepanjang masa haiwan itu berkeliaran. Pengunjung perlu melalui trek dalam kawasan hutan untuk melihat komodo berkenaan sama ada sedang bergerak atau berdiam di satu-satu tempat untuk menanti mangsa sama ada babi hutan atau rusa.


Saya dan isteri sudah tentu tidak melepaskan peluang bergambar dengan reptilia itu!


Selepas berada di Pulau Komodo kira-kira sejam, aktiviti 'island hopping' diteruskan. Ada pelancong mengambil peluang bersnorkeling dan menyelam. Menariknya, dari atas bot kami dapat melihat ikan pari berenang-renang dan besar-besar pula saiznya.


Pada pagi hari ketiga kami ke Kampung Budaya Compang To'e, Melo yang terletak di Kampung Liang Ndara kira-kira 70 kilometer bandar Labuan Bajo dengan melalui kawasan berbukit. Kampung di kawasan tanah tinggi menghidangkan suasana kedesaan kaum Manggarai itu berada di ketinggian 624 meter dari aras laut.




Kampung ini mengalami kebakaran pada 2017 dan kemudian dibaik pulih pada 2019.


Di kampung itu kami disambut oleh ketua adat, Pak Joseph dan dikalungkan selempang tanda penerimaan sebagai tetamu. Kami tidak melepaskan peluang mengenakan busana adat kaum Menggarai yang begitu unik dan bergambar sebagai kenang-kenangan.


Selepas kira-kira sejam berada di perkampungan adat, kami turun daripada kawasan tanah tinggi itu dan selepas menikmati makan tengah hari kami bersiap untuk menjelajah Gua Rangko.Perjalanan menaiki bot dari jeti di Kampung Rangko mengambil masa kira-kira 15 minit dan sesampai di destinasi kami menapak menuju gua unik itu kerana di dalamnya terdapat kolam air masin yang jernih.


Daripada perbualan dengan pemandu bot, nama Gua Rangko diambil sempena Kampung Rangko kerana ditemui oleh penduduk desa itu walaupun ia sebenarnya berada di Kampung Boleng.




Ada pelancong yang mengambil kesempatan untuk mandi dan berenang di situ. Kami berada di sana sehingga lewat petang dengan mengutip pengalaman sukar dilupakan sebelum pulang semula ke hotel untuk mandi serta berehat.


Kemudian kami ke Kampung Ujung yang tidak jauh dari hotel penginapan demi menikmati makanan laut sebagai santapan malam.


Memang benarlah kata orang, tak lengkap ke Labuan Bajo andai tidak makan di deretan kedai makanan laut di situ. Mengapa? Tentulah dek keenakannya yang menyediakan bahan segar dari laut! Perghh...memang padu dan sungguh menyelerakan malah harganya pun berpatutan.


Dua hari terakhir, kami hanya di sekitar bandar Labuan Bajo, bersiar-siar sambil membeli-belah barangan yang boleh dijadikan kenangan dan bergambar untuk mengabadikan memori di daerah amat istimewa ini.


Kami pulang ke tanah air dengan seribu kenangan dan memahami mengapa Labuan Bajo perlu ada dalam senarai destinasi untuk dikunjungi bagi mereka yang ingin melancong ke Indonesia! - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-5-2025 01:04 PM From the mobile phone | Show all posts
Tingin pi sini
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 05:00 AM GMT+8 , Processed in 0.049857 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list