CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 388|Reply: 0

'Jalan-jalan keliling Tanjong'

[Copy link]
Post time 9-5-2025 05:33 PM | Show all posts |Read mode


POPULARITI Pulau Pinang sudah meluas sejak sekian lama kerana sejarah dan pembangunan ekonominya. Malah hingga kini Pulau Pinang kekal berada dalam senarai destinasi makan angin utama.


Ia juga adalah antara negeri unik, berikutan kedudukannya terbahagi kepada dua iaitu bahagian pulau serta tanah besar yang merangkumi Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.


Hari ini dengan kecekapan sistem pengangkutan, anda sebenarnya tidak perlu lagi berkereta jika mahu ke Pulau Pinang. Dari Kuala Lumpur misalnya, guna saja perkhidmatan kereta api dan berhenti di Penang Sentral, Seberang Perai.


Di situ, anda boleh menaiki bas RapidPenang bagi merentasi lautan menerusi Jambatan Pulau Pinang atau boleh saja menaiki feri.


Bagi yang mahu mencari cenderamata sebagai kenang-kenangan, Jalan Penang adalah lokasinya, apatah lagi di situ letaknya Pasar Chowrasta yang sangat popular. Anda boleh membeli pelbagai jenis cenderamata sama ada pelbagai jenis jeruk, produk durian Balik Pulau, dodol warisan, rantai kunci dan pelbagai jenis barangan lain.




Lokasi itu juga adalah kawasan yang menarik untuk kaki lensa merakam gambar bangunan ikonik Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menjadi kebanggaan warga Pulau Pinang.


Bagi memudahkan pergerakan di sekitar bandar raya, penulis menyewa basikal di Lebuh Chulia pada harga RM20 sehari. Ada juga motosikal untuk disewa tetapi harga bergantung kepada modelnya.


Mengayuh basikal di sekitar bandar memberi pengalaman menarik, antaranya mudah sekali untuk sampai ke Lebuh Armenian atau 'Street Art' yang terletak di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO.




Basikal boleh diparkir dengan mudah, membuatkan hati lebih tenang untuk merakam gambar berlatarbelakangkan puluhan lukisan mural dan arca.


Kira-kira 50 meter dari laluan itu, letaknya masjid bersejarah iaitu Masjid Jamek Lebuh Acheh yang menjadi saksi perkembangan agama Islam di rantau ini. Masjid itu juga pernah menjadi lokasi tumpuan jemaah haji yang mahu berangkat ke Makkah melalui jalan laut.


Ia turut menjadi tumpuan pedagang terutama dari Timur Tengah berniaga rempah ratus, emas dan lain-lain lagi, justeru tidak hairanlah jika sekitar kawasan berkenaan mempunyai banyak premis jualan barangan kemas serta rempah ratus.




Usai solat Zuhur di Masjid Jamek Lebuh Acheh, kami dicadangkan jemaah di situ menunaikan solat Asar di Masjid Kapitan Keling yang mempunyai ciri binaan Mughal, terletak kira-kira 200 meter antara satu sama lain.


Masjid yang dibina pada tahun 1801 itu turut menempatkan barangan peninggalan seperti perigi, meriam serta makam imam pertama masjid itu yang dibuka untuk lawatan kepada pelbagai lapisan masyarakat.


Usai bersantai sekitar kota, saya memilih menikmati suasana petang dengan memerhati keindahan deretan bangunan kolonial di sepanjang Lebuh Pantai. Simbahan mentari petang memberi wajah klasik kepada bangunan lama itu, jadi tidak hairan ia turut menjadi pilihan bakal pengantin baharu, apabila ramai pasangan dilihat mengambil peluang merakam gambar praperkahwinan.


Tidak lengkap kunjungan ke Pulau Pinang sekiranya tidak ke Bukit Bendera. Terletak di Ayer Itam, ia lokasi terbaik melihat wajah Pulau Pinang. Namun jika mahu ke Bukit Bendera, sebaiknya lakukan di waktu pagi bagi mengelak kesesakan.




Pemandangan waktu pagi di Bukit Bendera umumnya diselubungi kabus tapi pada waktu malam, ia lebih romantis dengan limpahan cahaya yang memukau. Ketika ini anda boleh menaiki Bukit Bendera dengan perkhidmatan kereta api funikular (kereta api cerun bukit) atau pendakian menerusi laluan Warisan, manakala perkhidmatan kereta kabel dijadualkan siap beroperasi pada akhir tahun hadapan.


Sebenarnya meneroka Tanjong tidak cukup sehari, kerana ada banyak lagi lokasi menarik yang sebenarnya wajib singgah. Namun jika masa anda terhad dan cuti tidak panjang, kembara sehari mungkin memadai. - BH ONLINE


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 04:59 AM GMT+8 , Processed in 0.039249 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list