Edited by tatod at 8-5-2025 09:43 PM
KOTA KINABALU: Semuanya berada dalam keadaan baik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagi menjelaskan situasi parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan minum petang bersama semua tujuh presiden parti komponen GRS di Sri Gaya di sini semalam.
"Semua presiden berikrar untuk memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya akan datang. Saya menghargai pandangan dan pendapat mereka.
"Mereka semua adalah pemimpin politik yang matang dan memahami kepentingan GRS sebagai satu gabungan yang bersatu dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) meluangkan hampir tiga jam bersama Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin; dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
Sebelum ini, beberapa pemimpin dalam komponen GRS membuat kenyataan mengenai pendirian parti masing-masing dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-17 (PRN17).
Sesetengah pandangan yang dilontarkan itu mencetuskan pertikaian sehingga mewujudkan kontroversi dan polemik kepartian.
Antaranya berkaitan tuntutan mengenai agihan kerusi untuk ditandingi, sehinggkan ada cadangan supaya GRS bertanding secara sendirian di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji sekarang berteraskan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dan dikenali sebagai gabungan GRS-PH Plus.
PH Sabah yang diketuai oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick, dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
PRN17 dijangka diadakan pada bila-bila masa kerana tempoh penggal pemerintahan kerajaan sekarang dijadual berakhir pada September depan.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
|