Terkenal dek karakter di dalam filem kartun antarabangsa, Finding Nemo, ikan Nemo sememangnya bukan sesuatu yang asing di dalam masyarakat. Apatah lagi peminat haiwan akuatik.
Ikan ini turut dikenali sebagai Ocellaris clownfish atau nama sainstifiknya, Amphiprion ocellaris.
Sementara nama lain yang popular dikenali ialah Clownfish, Anemonefish, Clown anemonefish, False clownfish atau False percula clownfish.
Ia antara spesies ikan yang paling terkenal dalam industri akuarium air masin dan sering dijual di kedai-kedai akuarium laut.Bagi Muhammad Asyraaf Syafiq Ismanizam, 28, dia mula membela ikan Nemo sejak 2024.
Pada peringkat awal, dia hanya memelihara 10 ekor ikan itu di dalam sebuah akuarium bersaiz 0.9 meter (tiga kaki).
Bagaimanapun, kapasiti air yang sedikit iaitu kurang daripada 30 liter menyebabkan hanya boleh menempatkan kira-kira empat ekor ikan sahaja dalam satu tangki bagi memastikan haiwan itu tidak tertekan atau bersikap agresif.
"Ini kerana ikan Nemo sangat sensitif terhadap ruang dan akan mula menandakan kawasan masing-masing apabila ruang sempit dan terlalu sesak. Kini, hanya lima ekor yang tinggal.
"Seekor sudah mati akibat jangkitan penyakit selaput putih atau dalam istilah saintifiknya Ichthyophthirius multifiliis (White Spot Disease). Manakala, empat yang lain dijual," katanya.
Muhammad Asyraaf berkata, harga seekor ikan Nemo dibelinya RM25 seekor, menjadikannya pelaburan yang sangat berbaloi untuk pemula dalam hobi ikan air masin.
"Menariknya berkenaan ikan ini, ia tidak memiliki jantina tetap. Ikan Nemo mempunyai keupayaan semula jadi untuk menukar jantina berdasarkan hierarki sosial dalam kumpulan mereka.
"Biasanya, ikan yang paling besar akan berubah menjadi betina, manakala ikan yang lebih kecil akan kekal sebagai jantan. Fenomena ini dikenali sebagai sequential hermaphroditism dan ia adalah salah satu keunikan luar biasa ciptaan Tuhan," katanya.Tambahnya, ketika ini dia memiliki tiga spesies utama ikan Nemo iaitu Amphiprion ocellaris (Clownfish biasa, sering dirujuk sebagai Nemo), Amphiprion ocellaris var. Black (Black Ocellaris Clownfish), dan Amphiprion ocellaris var. Mocha Snowflake (variasi eksotik hasil pembiakan).
"Saya membeli ikan-ikan ini secara berperingkat, bermula dengan spesies asas (Clownfish biasa) untuk belajar mengenai ekosistem air masin dan penjagaannya. Selepas mahir, barulah saya menambah lagi dua spesies eksotik yang lebih mencabar dari segi penjagaan.
Katanya, dia mula berminat dengan haiwan itu sejak kecil, apabila menonton filem animasi Finding Nemo terbitan Disney Pixar. Watak si comel berwarna jingga itu benar-benar menarik perhatian.
"Gerakan renangnya yang lembut, warnanya yang ceria, dan sifatnya yang jinak membuatkan saya terus tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ikan ini.
"Keunikan ikan Nemo bukan hanya pada penampilannya, tetapi juga pada sifat sosialnya. Ia sangat setia kepada kawasan anemon tempat ia tinggal dan sering dilihat berenang di sekeliling anemon sambil mencari perlindungan," katanya.
Tambahnya, hubungan simbiosis antara Clownfish dan anemon laut itu adalah antara keajaiban dunia marin. Ikan Nemo menghasilkan lendir khas di tubuhnya yang menghalang sengatan anemon daripada mencederakannya.
"Dari segi nilai estetika pula, ikan ini sangat cantik dipandang dengan gabungan warna terang seperti jingga, hitam, putih dan kadangkala coklat (untuk variasi Mocha). Ia memberi ketenangan kepada pemilik apabila melihat ikan ini berenang perlahan-lahan di dalam tangki akuarium yang bersih dan terang.
"Penjagaan ikan Nemo memerlukan perhatian terhadap beberapa aspek utama seperti parameter air, pemakanan, pencahayaan, dan kebersihan tangki. Walaupun kelihatan mudah, tetapi bagi mendapatkan persekitaran yang ideal, beberapa perkara asas perlu diberi perhatian seperti memastikan kadar kemasinan berada dalam julat 1.018 hingga 1.025 PPT," katanya.
Katanya, perkara itu penting kerana ikan air masin sangat sensitif terhadap perubahan mendadak dalam kemasinan. Suhu pula perlu dikekalkan antara 24 hingga 28 darjah Celcius, dengan penggunaan alat pemanas automatik bergantung kepada suhu persekitaran.
"Saya juga menggunakan termometer digital untuk pemantauan yang lebih tepat. Setiap minggu, saya akan menukar 10 peratus air tangki dengan air garam laut yang dicampur dan dirawat," katanya.
Dari segi diet katanya, ikan itu sangat mudah dan fleksibel. Ia bukanlah spesies yang cerewet makan. Dia memberikan haiwan itu pelet makanan ikan air masin bersaiz kecil yang mengandungi nutrien seimbang.
"Selain itu, saya juga memberi makanan hidup atau beku seperti 'brine shrimp' dan 'mysis shrimp' seminggu dua kali sebagai variasi dan sumber protein tambahan," katanya. - HARIAN METRO
|