Lelaki jatuh bot selepas terlanggar tiang jambatan ditemui meninggal dunia
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
02 Mei 2025 01:38pm

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Batu Musang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
BATU KAWAN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot ketika mencari kerang berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini pada pagi Khamis, ditemui meninggal dunia.
Mayat mangsa, Ismail Ahmad, 28, ditemui berhampiran Sangkar Sungai Udang di sini pada jam 9.40 pagi, Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi pencarian secara Water Surface Searching telah dilancarkan pada Khamis bagi mengesan mangsa.
“Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini dengan kekuatan logistik keseluruhan lima buah bot serta koordinasi pembahagian sektor pencarian oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang.
“Hasilnya, mayat mangsa telah ditemui berhampiran Sangkar Sungai Udang. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam laut selepas bot yang dikendalikannya melanggar salah satu tiang jambatan ketika sedang mencari kerang bersama bapa dan seorang rakan.
Difahamkan, Ismail mengemudi bot seorang diri manakala bapa dan rakannya menaiki bot berasingan. Kedua-dua mereka terselamat dalam kejadian itu.
Operasi pencarian turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Maritim Malaysia dan Persatuan Nelayan tempatan.
https://www.sinarharian.com.my/article/726265/berita/semasa/lelaki-jatuh-bot-selepas-terlanggar-tiang-jambatan-ditemui-meninggal-dunia
|