KD Sri Indera Sakti jadi tarikan Hari Terbuka Armada di MAWILLA 3
Oleh Hamzah Osman - Mei 1, 2025 @ 4:40pm

Pengunjung beratur panjang menunggu giliran untuk menaiki kapal KD Sri Indera Sakti pada Hari Terbuka Armada sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-91 di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi. - Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Kapal KD Sri Indera Sakti milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi tarikan 5,000 pengunjung pada hari pertama Hari Terbuka Armada (HTA) di Markas Wilayah Laut 3 (MAWILLA 3) di sini, hari ini.
HTA berlangsung selama dua hari dianjurkan oleh MAWILLA 3 sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-91.
Pada hari ini, pengunjung berpeluang menaiki kapal berukuran 100 meter panjang dan seberat 4,300 tan yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak seawal jam 9 pagi, meskipun perasmian berlangsung jam 11 pagi.
Seorang pengunjung, Nur Aishah Murad, 48, dari Kampung Padang Gaoung di sini, berkata dia dan keluarga berasa bertuah kerana dapat melawat kapal itu serta diberi penerangan mesra oleh anak kapal.
"KD Sri Indera Sakti pernah dihantar berkhidmat di perairan Somalia dalam operasi lanun, hari ini saya berpeluang tinjau beberapa bahagian dalam kapal sehingga ke tingkat paling atas," katanya sambil menambah peluang melawat kapal itu sangat jarang diperoleh.
Majlis perasmian disempurnakan secara bersama Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah dan Timbalan Panglima MAWILLA 3, Kepten Yusman Darmawan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1391102/kd-sri-indera-sakti-jadi-tarikan-hari-terbuka-armada-di-mawilla-3
|