Perigi Portugis
Mereka yang ingin mencari kelainan untuk aktiviti riadah boleh cuba mengunjungi perigi bersejarah di Malaysia.Selain boleh menghilangkan tekanan, anda juga dapat menambah ilmu pengetahuan.
Aktiviti ini sangat baik kerana dapat mengetahui kewujudan khazanah berharga negara yang semakin kurang diminati.Santai minggu ini berkongsi lima perigi bersejarah di Malaysia menarik dikunjungi.
1. Perigi Hang Tuah
Terletak di Kampung Duyung, Melaka dan berdekatan dengan Bandaraya Melaka iaitu jarak kira-kira lapan kilometer.Dinamakan Perigi Hang Tuah kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan pahlawan terkemuka Zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah.
Ada sumber mengatakan perigi terbentuk kesan beberapa hentakan kaki Hang Tuah hingga mengeluarkan banyak mata air.Walaupun kewujudannya dianggap 'misteri' tetapi menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan.
Perigi ini diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
2. Perigi Air Buak
Perigi ini berada di Kampung Baru Bukit Beruang, Melaka dan usianya dikatakan hampir 100 tahun.Difahamkan kemunculan perigi ini bermula apabila air dari bawah tanah keluar membuak-buak secara tiba-tiba.
Walaupun kemunculannya membuatkan penduduk terkejut tetapi mereka membina pergi ini untuk kegunaan penduduk sekitar.Satu keunikan perigi ini ialah airnya tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau.
Kerajaan negeri menjadikan Perigi Air Buak sebagai produk pelancongan.
3. Perigi Portugis
Dinamakan Perigi Portugis kerana dipercayai dibina oleh tentera Portugis ketika menentang orang Bugis di Merlimau, MelakaTentera Portugis bergantung sepenuhnya keperluan harian dengan bekalan air daripada perigi berkenaan.
Dibina menggunakan batu laterit dari pulau sekitar Melaka menjadikannya unik.Perigi Portugis ini didaftarkan sebagai warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.
4. Perigi Raja atau Perigi Hang Li Po
Terletak di Jalan Puteri Hang Li Po, Kampung Bukit Cina.Perigi ini menjadi saksi kepada sejarah keagungan Kesultanan Melayu Melaka.
Dikatakan perigi ini lambang cinta Sultan Mansur Syah kepada isterinya yang berasal dari China Hang Li Po.Baginda mengarahkan perigi itu digali untuk kegunaan isterinya yang jelita.
5. Perigi Diraja
Perigi ini pernah digunakan oleh Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin al-Mukarram Syah sebagai sumber air bersih.
Bagaimanapun, perigi ini tertimbus dengan batu dan tanah selama 40 tahun sebelum ditemukan semula.Kewujudan perigi itu membuktikan kewujudan Kota Kayang di Kangar, Perlis.
Pergi ini tidak pernah kering walaupun kemarau kerana ketika dikorek semula, terdapat mata air sedalam 4.6 meter. - HARIAN METRO
|