Perlis rugi RM2.4 juta melalui kaedah guna kupon letak kereta - MB
30 April 2025 04:45pm

Mohd Shukri.
KANGAR - Kerajaan Perlis kerugian RM2.4 juta melalui kaedah penggunaan kupon untuk tempat letak kereta yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi tempoh 2022 hingga 2024 berikutan terdapat pengguna yang tidak mematuhinya.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, sehubungan itu, pelaksanaan sistem aplikasi pintar letak kereta di Perlis tahun ini dengan tempoh percubaan sepanjang Mei hingga pertengahan Jun nanti adalah pembaharuan positif untuk kerajaan negeri, sekali gus memanfaatkan rakyat.
"... kutipan melalui smart parking ini akan kembali kepada rakyat. Saya berharap rakyat (di Perlis) menerima pembaharuan ini kerana saya rasa kami tidak melakukan sesuatu yang boleh merugikan rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.
Mohd Shukri berkata, caj yang dikenakan kepada pengguna menerusi sistem aplikasi pintar itu adalah rendah, iaitu hanya 60 sen untuk sejam pertama manakala percuma bagi 15 minit pertama.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem aplikasi pintar itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak syarikat swasta yang dilantik dan lebih RM1 juta setahun dijangkakan akan diperoleh kerajaan negeri menerusi penggunaan sistem itu nanti.
Sementara itu, Affendi berkata, bermula Januari hingga kini, MPK tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap pengguna untuk letak kereta, sekali gus perlu menanggung kerugian kira-kira RM600,000 sebelum memulakan sepenuhnya sistem aplikasi pintar itu selepas pertengahan Jun ini. – Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/725958/edisi/utara/perlis-rugi-rm24-juta-melalui-kaedah-guna-kupon-letak-kereta---mb
|