Pengurus akaun lesap RM1.36 juta angkara pelaburan palsu
Oleh Zuhainy Zulkiffli - April 30, 2025 @ 1:19pm
GEORGETOWN: Pengurus perakaunan sebuah syarikat terpaksa berputih mata, selepas wang simpanannya berjumlah lebih RM1.36 juta lesap ditipu pelaburan dalam talian menerusi sebuah aplikasi.
Mangsa berusia 70 tahun itu mendakwa tertarik pelaburan berkenaan berikutan menjanjikan pulangan keuntungan di antara lapan hingga 15 peratus daripada modal dilaburkan dalam tempoh dua bulan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata menerusi laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya Isnin lalu, mangsa mendakwa tertarik dengan iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di bursa yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp pada Disember 2024.
Beliau berkata, mangsa yang berminat diminta memuat turun aplikasi bernama BIONM dan mendaftar sebagai ahli, seterusnya melabur melalui aplikasi berkenaan.
"Mangsa kemudian membuat sebanyak 14 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza.
"Dia kemudian menyedari dirinya diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM1 juta sebagai komisen kepada pihak BIONM bagi tujuan pengeluaran keuntungan berjumlah RM11 juta yang kononnya terkumpul di aplikasi itu.
"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, polis mengingatkan orang ramai bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara atas talian adalah sangat berisiko.
Katanya, masyarakat sudah berulang kali diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan helah 'scammer' yang berselindung di sebalik platform media sosial.
"Berdasarkan kes ini, adalah sangat mustahak supaya maklumat berkaitan pencegahan jenayah komersil, khususnya penipuan atas talian disampaikan kepada seluruh lapisan masyarakat.
"Hakikatnya, jenayah penipuan atas talian merupakan ancaman yang boleh menggugat kestabilan ekonomi negara dan boleh dicegah serta dielakkan sekiranya masyarakat memiliki pengetahuan serta sentiasa berwaspada terhadap potensi penipuan," katanya lagi.
"Ia adalah bagi memastikan entiti atau individu itu diberi kebenaran oleh agensi berkenaan bagi menawarkan, mempromosikan atau menjual sebarang produk serta perkhidmatan pasaran modal (pelaburan).
"Portal 'Semak Sebelum Lebur' turut disediakan bagi rujukan pelabur sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/04/1390478/pengurus-akaun-lesap-rm136-juta-angkara-pelaburan-palsu
|