
PRIHATIN: Annuar (kiri) menyantuni Japilin Sadin, salah seorang KIR mangsa kebakaran sempena ziarah itu sambil menghulurkan sumbangan kepada mereka yang terlibat.
KENINGAU: Dua buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam insiden kebakaran di Kampung Tudan Baru diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Turut bersama Annuar dalam lawatan itu ialah Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Fred Toyong, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Adza Addy Jasni serta petugas Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan.
Rombongan itu bersama-sama menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada dua Ketua Isi Rumah (KIR), adik beradik keluarga Japilin Sadin dan Bigul Majunah @ John Majunal.
Annuar berkata nilai sebenar pemberian bukanlah terletak pada jumlahnya, tetapi pada keikhlasan dan kasih sayang yang mengiringinya.
" 'It’s not how much we give, but how much love we put into giving'. Kami datang hari ini bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi membawa bersama harapan, doa dan kasih yang tulus daripada seluruh masyarakat Liawan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan bantuan susulan akan digerakkan, termasuk meneliti bentuk sokongan jangka panjang yang diperlukan oleh keluarga terbabit bagi memulakan semula kehidupan mereka.
Kehadiran rombongan ADUN itu disambut mesra oleh keluarga mangsa, yang jelas terharu dengan perhatian dan sokongan yang diberikan.
Disamping itu juga, Annuar turut memuji semangat kedua-dua keluarga yang terus cekal dan tabah walaupun diuji dengan kehilangan besar.
“Kita yakin, dengan sokongan bersama dan semangat perpaduan, mereka akan bangkit kembali, lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya sambil mengajak seluruh masyarakat untuk terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang terlibat tidak kira apa jua bentuk sumbangan.
|