CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 99|Reply: 0

Berhenti dera anak dalam diam, malukan depan orang, cipta ruang emosi positif, sarat kasih sayang

[Copy link]
Post time 29-4-2025 09:26 PM | Show all posts |Read mode
Edited by tatod at 29-4-2025 09:28 PM



DALAM kehidupan seharian yang semakin sibuk, ramai ibu bapa tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang mendera anak, bukan secara fizikal, tetapi secara senyap melalui emosi.


Penderaan emosi bukanlah sesuatu yang jelas kelihatan seperti lebam di kulit atau tangisan kesakitan.


Ia adalah luka halus yang tersembunyi di dalam hati anak-anak, yang sering kali kita abaikan tanpa niat.




Bayangkan seorang anak kecil yang datang menghampiri dengan lukisan pada tangan, meminta pendapat tentang warna sesuai untuk rama-rama dilukisnya.


Namun, si ibu atau ayah hanya menjawab sambil mata tidak lepas dari skrin telefon.


“Warna je la apa-apa pun.”


Anak itu mungkin berlalu pergi tanpa kata, tetapi dalam hatinya sudah tertanam rasa: “Aku tak penting.”


Inilah realiti yang banyak ibu bapa hadapi menerusi perkongsian pengguna Facebook Cahaya Mata berkenaan penderaan ibu bapa terhadap anak dalam senyap.




Kita tidak sedar, perhatian dan kasih sayang yang anak dambakan bukan sekadar keperluan fizikal seperti makanan, pakaian atau tempat tinggal.


Mereka perlukan masa ibu bapa dengan menunjukkan respons, sentuhan dan kata-kata yang menunjukkan bahawa mereka dilihat serta didengari.


Setiap kali memilih untuk membelek telefon daripada melayan cerita mereka tentang apa berlaku di sekolah, maka kita sedang membina tembok memisahkan dunia kita dan dunia mereka.


Begitu juga apabila kita tidak memuji walau secebis usaha mereka.


Anak mungkin hanya mendapat tempat ke-10 dalam kelas, tapi tanpa sokongan dan pujian, mereka akan rasa seperti tiada apa yang cukup untuk menggembirakan kita.




Sedikit kata semangat, pujian yang ikhlas, mampu meniup semangat besar dalam hati kecil mereka.


Kadang-kadang, kita juga terlalu teliti dalam hal-hal yang tidak perlu.


Anak ingin memakai baju kartun kegemarannya ke rumah nenek, tetapi kita menolak kerana ‘tak sesuai’.


Kita anggap itu perkara remeh, tetapi bagi anak, ia satu bentuk kawalan yang menafikan identiti mereka.


Jika dibiarkan berlarutan, anak mungkin membesar dengan perasaan serba salah, tidak yakin membuat keputusan sendiri.


Lebih menyedihkan apabila ada ibu bapa yang merendah-rendahkan anak tanpa sedar, terutama di hadapan orang lain.


Ketika orang lain memuji sikap rajin anak, kita membalas dengan menyebut keburukannya di rumah.

Mungkin niatnya bergurau, tetapi hati anak tidak dapat mentafsirkan sindiran seperti orang dewasa dan mereka hanya tahu satu perkara iaitu ibu atau ayah tidak bangga dengan mereka.
Kita juga sering terlepas peluang untuk mempertahankan anak ketika mereka memerlukan kita.

Bila anak mengadu kehilangan barang atau dianiaya rakan, kita hanya menenangkan mereka dengan kata-kata seperti “Tak apa, nanti beli baharu.”

Sedangkan yang mereka perlukan ialah rasa dibela, disokong, dan bimbingan untuk mempertahankan diri dengan betul.

Apabila kita gagal melindungi mereka secara emosi, mereka akan belajar menyimpan, mendiamkan diri, dan membina tembok dalam perhubungan.

Sesekali, belajarlah untuk berkata ‘ya’ pada permintaan anak, walau kecil.

Mungkin bukan semua mampu kita tunaikan, tetapi bila kita tolak sesuatu, tolaklah dengan penjelasan dan kasih sayang.

Jangan hanya kerana kita penat atau malas, kita abaikan permintaan mereka dan anggap ia tidak penting.

Apa yang anak perlukan sebenarnya bukan hadiah mahal atau kejayaan luar biasa.

Anak kecil hanya mahu merasa disayangi, dihormati, dan diperhatikan kerana ibu bapa adalah cermin pertama dalam hidup mereka.

Cara kita melayan anak hari ini akan menentukan siapa mereka menjadi pada masa hadapan, sama ada seorang yang penyayang, yakin diri, dan menghormati ibu bapa, atau sebaliknya.

Berhentilah seketika dari dunia luar dan pandang wajah anak, dengar cerita, sambut pelukan mereka, dan ucapkan kata-kata yang membuat mereka rasa berharga.

Kerana pada akhirnya, bukan hanya masa depan anak yang kita bentuk, tetapi juga hubungan kita dengan mereka akan kekal seumur hidup. — Majoriti




This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-5-2025 10:08 PM GMT+8 , Processed in 0.051921 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list