
MENANG: Azwan memenangi Pertandingan Gitar Karox Labuan 2025 anjuran Labuan International Sea Challenge 2025 di sini.

PENUH PERASAAN: Azwan membuat persembahan dengan penuh perasaan pada pertandingan itu.
LABUAN: Gitaris asal Kampung Tambalugu Tuaran, Azwan Abdul Aziz berjaya memikat hati juri dan diumum sebagai Juara dalam Pertandingan Gitar Karox Labuan 2025 anjuran Labuan International Sea Challenge 2025 di sini.
Azwan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 selepas mempersembahkan lagu gitar solo popular, Takkan Pisah nyanyian Eren.
Beliau yang berasal dari Kampung Tambalugu, Tuaran, mengambil masa tiga minggu untuk memilih lagu dan menjalani sesi latihan intensif sebelum pertandingan.
Anak ketiga dari lima beradik itu turut difahamkan pernah menjadi gitaris kepada beberapa kumpulan band termasuk OTP, Woodpecker dan Time Attack.
Naib juara dimenangi oleh Yusz Achilles yang membawa pulang RM1,000, manakala tempat ketiga diraih oleh Adika Sagi dengan hadiah wang tunai RM700.
Pertandingan yang diadakan di di Sea Sport Labuan itu menyaksikan seramai 17 peserta menunjukkan bakat masing-masing.
Pertandingan ini diadakan bagi mencungkil bakat muzik tempatan serta memeriahkan lagi penganjuran Labuan International Sea Challenge tahun ini.
|