KEINDAHAN Gunung Jerai selalu menarik perhatian pengguna jalan raya setiap kali memasuki sempadan Kedah menerusi Lebuh Raya Utara Selatan.
Berketinggian 1,217 meter dari aras laut, Gunung Jerai sebelum ini kerap juga dikaitkan dengan cerita-cerita rakyat seperti Sang Kelembai malah kisah mistik. Namun, sebenarnya apa yang lebih menarik, Gunung Jerai menyimpan 'rahsia' orang Kedah iaitu strawberi Gunung Jerai.
Sebelum ini mungkin ramai yang berpandangan kebun strawberi hanya diusahakan di Tanah Tinggi Cameron di Pahang, namun sebenarnya ia turut ditanam di Gunung Jerai.
Usaha berkenaan dilakukan seorang bekas guru yang sanggup mengeluarkan modal sehingga RM300,000 untuk membuka ladang strawberi di puncak gunung itu.
Rushidi Md Nor, 50, berkata usaha itu sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk luar bandar yang kurang mampu atau tidak pernah ke ladang strawberi di Cameron Highland, untuk merasai pengalaman memetik buah berkenaan di Gunung Jerai.
"Jadi, saya sanggup mengeluarkan modal sebanyak RM300,000 untuk membuka ladang strawberi di Gunung Jerai dengan keluasan 900 meter persegi yang dinamakan sebagai Jerai Hill Strawberry Farm.
"Saya berharap ladang ini akan membantu tingkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya.
Tuai tiap hari
Anak kelahiran Sik itu berkata, percubaannya membuahkan hasil apabila ladang strawberi yang dibangunkan sejak 2019 semakin dikenali pengunjung khususnya di utara Semenanjung Malaysia.
Katanya, sehingga kini sebanyak 4,000 pokok strawberi daripada pelbagai jenis seperti Festival, Monterey dan Royal Berry ditanam di ladang strawberi berkenaan.
"Tidak ketinggalan, kami juga menanam strawberi jenis Pineberry yang unik dengan memiliki warna putih dan rasa seperti campuran nanas dan strawberi.
" Secara purata buat masa ini pada hari biasa, kita boleh tuai tiga hingga enam kilogram (kg) buah strawberi setiap hari dengan penanaman dibuat secara bertingkat dan bukan di atas tanah.
"Kebiasaannya, pokok strawberi ditanam di puncak Gunung Jerai ini akan berbuah lebat antara November hingga Januari dan kita mampu tuai hingga 16 kg sehari dan terus dijual kepada pengunjung," katanya yang mempunyai berpengalaman mengusahakan hampir sehektar ladang strawberi di Cameron Highland lebih 20 tahun.
Bercerita lanjut, Rushidi berkata selain strawberi pengunjung turut berpeluang menikmati produk berasaskan strawberi termasuklah 'scone' dan aiskrim pada bila-bila masa.
Katanya, semua produk berasaskan strawberi dijual antara RM4 hingga RM20 itu dihasilkan sendiri di ladang berkenaan.
"Di sini juga dilengkapi dengan pelantar yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan lautan dan jelapang padi dari puncak Gunung Jerai.
"Kami tidak kenakan bayaran dan pengunjung boleh masuk secara percuma ke ladang strawberi yang dibuka antara jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari," katanya.
Jelasnya, selain ladang strawberi dan produk hiliran berasaskan strawberi, orang ramai turut boleh mendapatkan benih strawberi dari Mesir yang juga rakan strategik mereka.
"Buat masa ini, ladang kami masih kecil namun ada rancangan untuk membesarkannya hingga mampu memuatkan 50,000 pokok strawberi dengan jangkaan hasil tuaian 100 kg sehari.
"Kami turut bercadang untuk menanam tanaman lain seperti anggur dan avokado di sini untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan menarik di Kedah," katanya.
INFO
● Gunung Jerai berketinggian 1,217 meter dan terletak di sempadan antara daerah Yan dan Kuala Muda.
● Keunikan Gunung Jerai kerana ia terasing daripada sistem banjaran gunung di Semenanjung Malaysia, dan terletak di pesisir pantai.
● Ada pandangan yang menyebut Gunung Jerai asalnya adalah sebuah pulau.
● Suhu tahunannya antara 19 °C hingga 24 °C dan selalunya berkabus tebal terutama pada musim hujan atau awal pagi - BH ONLINE
|