
Tabung Darah HUS minta orang ramai tampil menderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi.
KUCHING: Tabung Darah Hospital Umum Sarawak (HUS) meminta orang ramai untuk terus menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutamanya bagi kegunaan pada waktu kecemasan.
Menurut Tabung Darah HUS dalam satu hantaran di Facebook, peningkatan permintaan darah ketika ini tinggi susulan peningkatan kes kecemasan, pembedahan di samping perlu menampung keperluan pesakit-pesakit yang memerlukan.
“Peningkatan permintaan darah ketika ini adalah disebabkan oleh peningkatan kes-kes kecemasan seperti pendarahan dalam perut, ibu bersalin yang tumpah darah, operasi pembedahan di samping penggunaan harian pesakit-pesakit yang memerlukan bekalan darah berterusan seperti pesakit kanser,” katanya hari ini.
Oleh itu, pihaknya amat mengharapkan bantuan daripada semua terutamanya penderma-penderma darah yang telah cukup tempoh pendermaan atau penderma-penderma yang telah lama tidak menderma dan sihat tubuh badan.
“Penggunaan 70 beg darah sehari di HUS pasti akan memberikan kesan apabila permintaan darah lebih tinggi daripada perolehan darah,” katanya lagi.
Tabung Darah HUS beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 4.30 petang.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang http://www.hus.gov.my atau laman media sosial Facebook, Instagram dan Twitter, Blood Bank Hospital Umum Sarawak.
|