
SUMBANGAN: Zainul Rahim (tengah) merakamkan kenangan bergambar bersama wakil penerima Zakat Wakalah Pengurus Rumah Anak Yatim Kudat (Baitul Hidayah) Awang Lahaji Rokimin (kiri) dan Pengurus Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad Ranau Mohd Hainin Abdullah (kanan).
KOTA KINABALU: Hibiscus Petroleum terus komited memperkasakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini melalui pelaksanaan Program Super Sarapan dan Projek Pemeliharaan Bakau.
Kedua-dua inisiatif syarikat itu seiring dengan matlamat untuk membentuk masa depan lestari yang berasaskan tiga tonggak utama iaitu bidang pendidikan, kesihatan, serta alam sekitar dan komuniti.
Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad Zainul Rahim Mohd Zain berkata, di Sabah Hibiscus Petroleum melaksanakan beberapa Program CSR bagi membantu membangunkan komuniti setempat.
Katanya, salah satu CSR iaitu Program Super Sarapan bertujuan memastikan pelajar menerima sekurang-kurangnya satu hidangan semasa di sekolah.
Katanya, Hibiscus mula menaja program Super Sarapan pada 2024 melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali dan SK Dalam Rhu di Tok Bali Kelantan, yang memberi manfaat kepada sejumlah 80 penerima.
Menurutnya, tahun ini program berkenaan diteruskan ke Sabah dengan tajaan di SK Tamau Kota Belud dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan Kota Belud yang mana kedua-dua sekolah itu berada dalam kawasan operasi Hibiscus.
"Program di Sabah juga akan memberi manfaat kepada 80 penerima iaitu 40 pelajar setiap sekolah.
"Pada masa sama, program ini turut dilaksanakan di sebuah lagi sekolah di Kelantan iaitu SMK Cherang Ruku sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelajar tajaan seramai 200 orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Hibiscus Petroleum di sini pada Rabu lepas.
LANCAR: Ahli Lembaga Pengarah Hibiscus Petroleum Berhad Emeliana Rice Oxley (kiri) menyampaikan plak kepada Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Ishak Mohd Yusoff sebagai simbolik pelancaran Program Super Sarapan.
Selain itu jelasnya, pelaksanaan Projek Pemeliharaan Bakau seiring dengan peranan penting hutan paya bakau dalam pemeliharaan keseluruhan alam sekitar.
Menurutnya, kempen kesedaran itu bertujuan mewujudkan kesedaran yang berinformasi dalam menjaga hutan pesisir pantai demi generasi akan datang.
"Hibiscus Malaysia akan bekerjasama dengan Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah (SWCS) untuk melaksanakan Projek Pemeliharaan Bakau, iaitu satu siri aktiviti di tiga daerah yang mempunyai populasi hutan bakau iaitu Tuaran, Papar dan Kota Marudu.
"Aktiviti-aktiviti ini untuk menyebarkan kepentingan hutan paya bakau, pemulihan dan perlindungan bakau serta faedah daripada penggunaan sumber hutan bakau.
"Kempen ini akan dijalankan sepanjang tahun ini dan akan melibatkan 150 pelajar sekolah menengah, 60 guru serta ahli-ahli komuniti setempat di daerah-daerah berkenaan," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, beberapa inisiatif program CSR yang lain turut memberi impak serta manfaat kepada komuniti setempat.
Beliau berkata, antaranya Hibiscus Petroleum menaja seramai 20 wanita dalam kalangan B40 di Kudat dan Kota Marudu melalui program kemahiran menjahit.
Pihaknya turut menaja akses tenaga boleh diperbaharui kepada 124 rumah penduduk di Kampung Paus Ranau serta mempromosikan kesedaran keselamatan kepada 500 pelajar di Kota Belud melalui Program Keselamatan yang akan dijalankan kelak.
Menurutnya, syarikat itu turut menyediakan saringan ujian Human Papillomavirus (HPV) secara percuma kepada lebih 5,000 individu sejak 2021.
"Kita juga membantu lebih 8,000 individu dari kalangan golongan kurang berkemampuan melalui Program Sumbangan Wakalah Hibiscus Petroleum.
"Dalam kita menuju ke hadapan, marilah kita semua menerima inovasi dan kecemerlangan kerana kekuatan sebenar Hibiscus Petroleum terletak pada individu luar biasa yang memacu kejayaan kita.
"Bersama-sama, kita akan membina masa depan yang lebih kukuh dan lebih mampan," katanya.
Sempena dengan sambutan Hari Raya, beliau turut meraikan para jemputan yang hadir dan mengingatkan agar saling menghargai antara satu sama lain.
"Saya berharap kita semua dan ahli keluarga kita beroleh keamanan, kemakmuran, dan kebahagiaan sepanjang musim perayaan ini," katanya.
|