
RADZUAN
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Nashrudin Elias atau Nash akan menjadi tetamu istimewa majlis baca puisi bulanan, PEMUISI DI DBP 17.0, anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) pada 26 April ini pada pukul 8.00 malam di Dewan Dato' Abdul Rahim Bakar, Menara DBP di sini.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, Nash, yang pernah menganggotai kumpulan Lefthanded suatu ketika dahulu akan berucap dan membuat persembahan nyanyian daripada albumnya dalam majlis itu.
“Saya berterima kasih kerana beliau sudi hadir dan akan mempersembahkan nyanyian dalam majlis anjuran PEMUISI itu. Majlis Baca Puisi Bulanan PEMUISI DI DBP 17.0 ini adalah anjuran PEMUISI dengan kerjasama DBP. Ini adalah kali ke-17 PEMUISI dan DBP menganjurkan acara ini," katanya.
Menjawab soalan kenapa Nash diundang sebagai tetamu istimewa pada majlis terbabit, Radzuan menjelaskan bahawa PEMUISI kerap mengundang tokoh-tokoh yang terdiri daripada pelbagai bidang yang bukan dalam kalangan sastera.
"Kebanyakan tokoh yang menjadi tetamu istimewa PEMUISI dalam majlis ini ialah tokoh yang di luar bidang puisi, seperti Ahli Korporat, Ahli Sains, Ahli Geologi, Doktor Pergigian, Agamawan, Penyanyi, Pelakon, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Hakim dan lain-lain.
“Tujuan kami ialah untuk memasyarakatkan puisi, supaya tokoh-tokoh yang datang daripada pelbagai bidang akan didedahkan dengan puisi, yang kelak akan mengembangkan lagi sayap puisi ke bidang-bidang yang lain" katanya.
Tambahnya, Nash adalah tokoh seni suara legenda tanah air yang mengeluarkan banyak album dan lagu-lagunya mendapat sambutan hangat serta menjadi siulan masyarakat.
"Lagu-lagu Nash kebanyakannya malar segar dan masih lagi diminati masyarakat hingga hari ini", katanya.
Radzuan berkata, antara nama besar sastera tanah air yang akan turut hadir pada acara berkenaan ialah Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara yang merupakan Penasihat PEMUISI; Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan juga selaku Penasihat PEMUISI, Datuk Chamil Wariya, Datuk Jasni Mat Lani, Dr. Ferri Anugerah Makmur dan ramai lagi.
"Seramai seratus orang peserta akan hadir dan seramai 15 orang pemuisi akan mempersembahkan bacaan puisi, lagu-lagu puisi, monolog, syair, sketsa, tarian tradisional dan sebagainya. Mereka terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat termasuklah pelajar-pelajar sekolah dan universiti" katanya.
|