
Lau (tengah) bersama Sean (dua kanan), Marieanne (tiga kiri), Ting (tiga kanan) memotong reben merasmikan Spring Flower Festival anjuran Kelab Toastmaster UTS.
SIBU: Spring Flower Festival anjuran Kelab Toastmaster Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menjadi platform terbaik kepada para pelajar untuk mempelajari cabaran sebenar dalam menganjurkan acara serta melibatkan diri dengan masyarakat, khususnya komuniti kampus.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mengasah keberanian pelajar, malah meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan dan peranan Kelab Toastmaster.
“Sebagai seorang pelajar, mereka benar-benar menunjukkan keberanian menyahut cabaran ini, demi mengumpul dana untuk kelab dan juga pelajar UTS.
“Daripada apa yang saya difahamkan, terdapat sebanyak 23 gerai dibuka pada festival ini, yang mana sebahagiannya disewakan kepada pihak luar, manakala majoritinya dikendalikan oleh para pelajar sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian festival tersebut di UTS, petang Khamis.
Lau turut mengimbau kenangannya ketika bergiat aktif dalam Kelab Toastmaster semasa menuntut di Kolej Bersatu Sarawak (UCS) yang kini dikenali sebagai Kolej Laila Taib (KLT).
“Jadi seperti yang saya nyatakan tadi, festival ini membawa kembali banyak kenangan. Pertama, kerana saya kembali ke kampus ini (UTS) dan kedua, saya juga pernah menjadi ahli Toastmaster semasa di UCS,”ujarnya.
Beliau turut berharap para pelajar UTS terus berani menyahut cabaran dan menanamkan keyakinan diri untuk bercakap, yang amat penting apabila melangkah ke alam pekerjaan dan berinteraksi dengan pelbagai pihak.
Turut hadir ialah ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Sean Wong, Presiden Kelab Toastmaster UTS, Shirly Ting dan pengerusi penganjur, Marieanne Landi Gat.
|