
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala anak lelakinya mengalami kecederaan parah selepas kereta dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah bas persiaran yang berada di tepi jalan dalam kejadian di Jalan Sulaman Gayang, Tuaran, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa wanita berumur 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati, kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 19 tahun bersama dengan penumpangnya seorang perempuan datang dari arah Salut dan hendak menuju ke arah Kampung Laya-Laya.
“Apabila tiba dilokasi kejadian, secara tiba-tiba pemandu hilang kawalan terhadap pemanduannya lalu terbabas ke arah kiri bahu jalan dan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan bas persiaran yang diletakkan dibahu jalan sebelah kiri.
“Impak kemalangan menyebabkan penumpang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas akibat kecederaan parah dibahagian kepala manakala pemandu motokar pula mengalami kecederaan patah kaki dan dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga menasihati orang ramai supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa patuh kepada peraturan lalulintas.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Mohamad Nor Amit berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 2.41 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Dua mangsa tersepit di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai hilang kawalan dan usaha menyelamat dijalankan segera sebaik pasukan bomba tiba.
“Pemandu lelaki berjaya dikeluarkan dalam keadaan parah dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi rawatan lanjut.
“Manakala mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 petang.
|