
BINTULU: Seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu dalam pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Tertuduh yang berumur 44 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bintulu didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 daripada seorang kakitangan pelabuhan di sini.
Ia bagi menutup kes bapanya yang sedang disiasat oleh pihak JIM Bintulu kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu kesalahan di bawah Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/1963 yang mana tertuduh adalah penolong pegawai penyiasat bagi kes tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Bintulu pada jam 10.15 malam 23 Februari 2022 dan didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Sesyen 24(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
|