
ALBUM: Para pengamal media merakamkan gambar kenangan bersama para tetamu kehormat semasa di majlis itu.
KOTA KINABALU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) percaya pembangunan industri koko bukan hanya tentang angka eksport dan pengeluaran, tetapi juga tentang membina naratif.
Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Kasin berkata, naratif tentang harapan, daya tahan, inovasi dan impak kepada masyarakat perlu diuar-uarkan.
"Dalam hal ini, kami melihat kerjasama antara LKM dan media bukan hanya sebagai keperluan komunikasi, tetapi sebagai satu pelan strategik yang mesti dirangka bersama berkongsikan bahan cerita dan berita yang mampu memajukan industri koko negara secara menyeluruh.
"Dari segi pencapaian eksport dan pengeluaran koko, suka saya kongsikan di sini bahawa sektor koko terus berkembang dan mendapat pencapaian yang positif," katanya pada Malam Penghargaan Media dan Rakan Kerjasama di sini, kelmarin.
Beliau berkata, pada 2024, Malaysia telah mencatatkan perolehan eksport sebanyak RM15.06 bilion, menunjukkan perbezaan sebanyak RM6.86 bilion, iaitu peningkatan 83.66 peratus berbanding RM8.20 bilion pada 2023.
Katanya, pengeluaran koko tempatan juga mencatatkan peningkatan dengan jumlah sebanyak 445.37 tan matrik.
Justeru katanya, tahun ini LKM merangka lebih banyak inisiatif berasaskan komunikasi berimpak tinggi, termasuk menjelang penganjuran Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 yang akan diadakan di Sabah.
"Kami mahu cerita koko Malaysia disampaikan bukan sahaja kepada rakyat
Malaysia, tetapi juga ke pentas dunia dan kami yakin hanya dengan kerjasama rapat dengan media, perkara ini mampu direalisasikan.
"LKM juga amat mengalu-alukan cadangan-cadangan daripada pihak media untuk bekerjasama dalam penganjuran bengkel kewartawanan berkaitan industri koko, program 'media familiarisation' serta penerbitan bersama bahan-bahan khas. Kami sedia mendengar, berbincang dan bertindak," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata, di Malaysia, pengamal media mempunyai amanah yang cukup besar kerana peranan wartawan adalah melaporkan maklumat yang benar, sahih dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
"Melihat dari sudut LKM, pada pendapat saya, sesuatu industri bukanlah pengolahan berita bersandarkan pada angka semata-mata. Bukan semua media output yang disiarkan berasaskan stastik eksport dan pengeluaran.
"Bagi kami dibahagian industri kreatif, 'storytelling' boleh berlaku dari pelbagai sudut.
"Penceritaan berkenaan ladang dan pengeluaran biji koko, mungkin kita biasa baca di media cetak, dan menonton di media elektronik, namun jika dikupas lebih dalam cerita-cerita komuniti yang hidup di sekitar ladang, cerita anak muda kembali ke kampung mengusahakan ladang koko, inovasi dan adaptasi teknologi yang berlaku di tempat terpencil, cerita-cerita akar umbi dari industri hiliran koko…Ini semua adalah cerita bernilai tinggi," katanya.
Menurutnya, berita seumpamanya bukan sahaja menjadi bacaan kepada masyarakat tempatan tetapi juga usaha bersama untuk meletakkan Sabah diradar pelabur dan pemain industri global.
Katanya, SJA bersedia, untuk terus memberikan sokongan, sama ada dalam bentuk liputan dan penceritaan, untuk menambah nilai industri koko di negeri ini.
"Kami juga menyambut baik penganjuran Malaysia International Cocoa Fair 2025, yang bakal berlangsung, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada bulan hadapan.
"Sudah pasti platform bertaraf dunia seperti ini, pasti akan membawa limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan dan rakyat seluruhnya," katanya.
|