
LANCAR: Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan majlis berkenaan.
KOTA KINABALU: Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) melancarkan rumah untuk pesakit penyakit jantung kongenital (CHD) kanak-kanak yang pertama di negeri ini.
Presiden SOSHF, Datuk Eva Susau berkata, rumah berkenaan terletak di Kingfisher itu turut dijayakan bersama PEKAH Sdn. Bhd.
"Kita berterima kasih kepada PEKAH Sdn. Bhd kerana menderma kemudahan itu yang merealisasikan perkara ini.
“Rumah ini kini menjadi simbol harapan untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit CHD dan keluarga mereka,” katanya ketika merasmikan pelancaran itu, kelmarin.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Eksekutif PEKAH Sdn. Bhd, Datuk Steven Tan.
Beliau berkata, rumah itu akan berfungsi sebagai rumah transit untuk kanak-kanak CHD dan keluarga mereka yang menerima rawatan di Kota Kinabalu, secara percuma.
Katanya, kemudahan itu sekali gus menyelesaikan cabaran lama yang dihadapi oleh keluarga dari kawasan pedalaman Sabah yang sebelum ini tiada tempat tinggal dan sering dan terpaksa bermalam di koridor hospital atau kantin awam.
“Rumah ini wujud hari ini kerana seorang insan yang terus percaya kepada kami.
“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Steven Tan dan PEKAH Sdn. Bhd. atas kemurahan hati mereka," katanya.
Menurutnya, SOSHF kekal komited dengan misinya untuk menyokong kanak-kanak kurang berkemampuan yang memerlukan pembedahan jantung.
Eva berkata, pihaknya berhasrat memperjuangkan penubuhan Pusat Jantung Negara di Sabah, bagi memudahkan para pesakit jantung yang kini terpaksa pergi ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.
|