Pastikan kesejahteraan pekerja, keselamatan di tempat kerja diperkasa, selari dengan perubahan landskap pekerjaan global

Dr Sim merakam kenangan bersama tetamu kehormat lain selepas sidang media ACOH 2026 di Kuching hari ini.
KUCHING: Sarawak perlu memajukan bidang kesihatan pekerjaan bagi memastikan kesejahteraan pekerja dan keselamatan di tempat kerja terus diperkasa serta selari dengan perubahan landskap pekerjaan global.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sudah tiba masanya kesihatan pekerjaan tidak lagi dilihat sebagai bidang yang hanya relevan kepada syarikat besar atau industri berat.
Apatah lagi katanya, aspek kesihatan pekerjaan kini semakin menjadi isu utama yang perlu diberi perhatian di semua peringkat tenaga kerja.
“Ramai masih beranggapan bahawa kesihatan pekerjaan hanya berkaitan dengan syarikat besar, industri berat dan sebagainya.
“Namun kini, aspek kesihatan pekerjaan semakin diberi keutamaan sebagai komponen penting di setiap tempat kerja.
“Maknanya setiap organisasi perlu mempunyai atau melantik penyelaras khusus dalam bidang ini dan semua pihak perlu memainkan peranan aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kongres Kesihatan Pekerjaan Asia Ke-24 (ACOH 2026) di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama pengerusi penganjur ACOH 2026 Profesor Dr Abu Hasan Samad dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini.
Dr Sim berkata, masih banyak jurang perlu diisi dalam usaha membina sistem kesihatan pekerjaan yang menyeluruh terutama ketika dunia kini bergerak pantas dalam era kecerdasan buatan (AI) dan inovasi.
“Kita perlu melatih lebih ramai individu dan mengejar pengetahuan terkini. Dengan kemajuan AI dan inovasi baharu, kita berharap jurang ini dapat diatasi dengan lebih pantas,” katanya.
Justeru, ujarnya, persidangan antarabangsa seperti ACOH bukan sahaja penting untuk mendapatkan kepakaran, malah turut berperanan dalam membina kapasiti tempatan dan nasional dalam bidang kesihatan pekerjaan.
“Kita sangat menghargai peluang untuk menjadi tuan rumah bagi kongres ini.
“Sebelum ini, acara seperti ini pernah diadakan di negara seperti Korea Selatan. Namun untuk menghantar ramai wakil ke sana sangat membebankan kos.
“Dengan ACOH diadakan di Kuching, ia lebih mudah diakses oleh peserta dari Malaysia dan rantau ASEAN,” kata Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran ACOH 2026 akan menjadi pencetus kepada pembangunan berterusan bidang kesihatan pekerjaan di Sarawak dan Malaysia, selain memberi manfaat kepada negara-negara lain.
“Acara seperti ini akan membantu kita membangunkan keseluruhan landskap kesihatan pekerjaan.
“Kita mahu usaha ini berterusan dan kita juga komited berkongsi ilmu yang diperoleh dengan negara lain.
“Kita percaya dengan perkongsian dan penyelidikan rentas budaya menerusi kongres seperti ini, menjadikan bidang perubatan terus berkembang hingga hari ini,” ujarnya.
ACOH 2026 dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dijangka menarik kehadiran 2,000 pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan dari seluruh dunia.
Kongres tersebut dianjurkan oleh Akademi Perubatan Pekerjaan dan Alam Sekitar Malaysia (AOEMM) dengan kerjasama Asian Association of Occupational and Environmental Health (AAOEH) yang memperjuangkan perlindungan kesihatan pekerja serta mempromosikan kesejahteraan komuniti pekerjaan.
Sarawak telah berjaya membida untuk menjadi tuan rumah kongres yang didakan setiap tiga tahun sekali pada tahun depan.
Kejayaan bidaan antarabangsa itu adalah hasil kerjasama antara AOEMM, Business Events Sarawak (BESarawak) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
|