
Ruslan ketika bercakap kepada media. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah syarikat pada tahun lepas iaitu sekitar RM888 juta.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Ruslan Abdul Ghani berkata jumlah pendapatan ini adalah antara tiga kejayaan utama dicapai syarikat pada tahun lepas.
Selain mencapai pendapatan tertinggi dalam sejarah, syarikat pada tahun lepas katanya juga mencatat prestasi yang baik dari segi jumlah kargo yang dikendalikan di Pelabuhan Bintulu iaitu hampir 52 juta tan.
“Ini menjadikan kita pelabuhan ketiga terbesar di Malaysia dari segi jumlah kargo.
“Selain itu prestasi kapal juga memberangsangkan di mana kita menerima lebih daripada 8,000 kapal yang berlabuih di pelabuhan kita tahun lepas.
“Semua kejayaan ini adalah hasil sokongan daripada lembaga pengarah, para pekerja serta pihak berkepentingan secara amnya dan sokongan daripada Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas Majlis Berjarah Raya Bersama Bintulu Port dan Penyampaian Anugerah Biasiswa BPHB 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Terdahulu berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan Ke-29 dipengerusikan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Ditanya pendapatan untuk tahun 2025, Ruslan berkata syarikat menyasarkan jumlah pendapatan yang hampir sama atau lebih tinggi dengan pengenalan perkhidmatan baharu serta jangkaan jumlah kargo.
Bagaimanapun kata Ruslan, syarikat menjangkakan tahun ini agak mencabar terutaman disebabkan ketidaktentuan pasaran, isu tarif dan sebagainya.
“Kita perlu lihat bagaimana ia akan memberi kesan kepada pelabuhan kita. Tetapi kita berharap dengan kemasukan volume baharu, terutama daripada sektor tenaga hijau dan prestasi baik daripada Sarawak Petchem serta sokongan berterusan daripada LNG, kita akan dapat mencapai prestasi yang baik juga tahun ini,” katanya.
Mengenai isu kenaikan tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), Ruslan berkata masih terlalu awal untuk memberi jawapan yang tepat sama ada ia akan menjejaskan Pelabuhan Bintulu secara langsung.
“Tetapi berdasarkan pemahaman awam, kesannya mungkin tidak begitu besar kerana kebanyakan eksport kita tidak pergi terus ke Amerika.
“Biasanya kita eksport ke India, terutama minyak sawit mentah (CPO), ke China dan juga ke Afrika.
“Jadi kita tidak berurusan secara langsung dengan Amerika. Harap kesannya minimum tetapi ia masih awal kerana mungkin terdapat kesan langsung atau tidak langsung yang sedang kami nilai,” katanya.
|