Penduduk yang terima surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN, diingatkan tidak menjual tanah tersebut

Abdul Karim (tujuh kanan) bersama 57 penerima surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN dari Kampung Moyan Laut, Asajaya.
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan penduduk kampung yang telah menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN), tidak menjual tanah tersebut.
“Saya berharap agar kita gunakan tanah ini sebaik-baiknya. Jangan semata-mata untuk keuntungan singkat, kita jual tanah kita.
“Lebih baik kita usahakan atau bangunkan tanah kita ini. Ini akan menjadikan masa depan lebih baik untuk masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di Bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Moyan Laut, Asajaya di Dewan Kampung Moyan Laut, Asajaya, hari ini.
Awang Tengah berkata pengukuran kampung tradisional adalah usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memastikan jaminan hak milik ke atas tanah penduduk bagi kampung yang telah lama wujud sama ada di kawasan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (kampung) atau belum.
Menurutnya program yang dijalankan secara berperingkat itu akan diteruskan selagi terdapat permintaan daripada penduduk dengan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
“Program ini adalah jaminan kerajaan mengiktiraf pemilikan tanah dengan mengeluarkan surat hak milik tanah kepada masyarakat Bumiputera yang tinggal di kampung tradisional.
“Melalui pengukuran dilaksanakan serta pengeluaran Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN, sempadan tanah direkodkan dengan jelas bagi mengelak sebarang pencerobohan dan pertikaian,” jelasnya.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata sebanyak 58,194 lot kediaman kampung di seluruh Sarawak telah disukat, daripada jumlah itu, 52,915 lot telah dikeluarkan surat hak milik.
Pada majlis itu 66 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN diserahkan kepada 57 penduduk Kampung Moyan laut.
Sementara itu, Abdul Karim yang ditemui berkata beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas inisiatif itu.
“Di Sarawak terdapat lebih 5,000 kampung dan kita tahu untuk menyukat kampung-kampung ini agak sukar. Oleh itu kita amat bersyukur kerana ada yang sudah berjaya disukat.
“Bagi yang belum disukat saya harap mereka bersabar, kerana saya percaya JTS pasti akan melakukannya,” katanya sambil menambah, surat hak milik tanah kampung tradisi dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTN.
Menurutnya kesanggupan Kerajaan Sarawak menanggung semua kos penyukatan dan tiada cukai mahupun premium dikenakan bagi tanah disukat menunjukkan kerajaan berusaha mengurangkan beban rakyat.
Bagaimanapun ujarnya, tidak semua kampung dianggap sebagai kampung tradisi ataupun boleh dikeluarkan surat hak milik di bawah Seskyen 18.
Hadir sama Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Mohammad Zunica Mohammad Sapi’ee.
|