CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 71|Reply: 0

[Sarawak] Program MyGENOM kini diperluaskan ke Sarawak

[Copy link]
Post time 22-4-2025 08:27 AM | Show all posts |Read mode
Dapatkan 1,000 sampel darah sihat daripada pelbagai kumpulan komuniti, etnik di negeri ini



Lukanisman (dua kanan) memperkata sesuatu semasa mengadakan lawatan ke tapak pameran yang diadakan sempena majlis pelancaran Projek MyGENOM di Miri, hari ini. Turut kelihatan ialah Dr Nor Fariza (tiga kiri) dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong (kiri sekali).

MIRI: Pengumpulan untuk data bank genetik menerusi Program MyGENOM kini diperluaskan ke Sarawak, bagi mendapatkan 1,000 sampel darah sihat daripada pelbagai kumpulan komuniti dan etnik di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni memberitahu, jelajah Program MyGENOM yang sudah bermula seminggu di Miri, telah berjaya mengumpul 121 sampel, sehingga kini, di Miri.

“Memandangkan Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian genetik, budaya dan warisan komuniti, komuniti Bumiputera di Sarawak masih kurang diwakili dalam kajian genomik terdahulu.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk memastikan keterlibatan dan perwakilan penduduk Sarawak dalam genom rujukan kebangsaan yang akan dibangunkan di bawah Projek MyGENOM, agar hasil kajian, dasar dan intervensi kesihatan yang dihasilkan benar-benar inklusif, tepat dan relevan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu perkara itu pada sidang media selepas melancarkan Pengumpulan Data Kajian MyGENOM untuk Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Lukanisman berkata bagi Sarawak, projek ini telah mengenal pasti enam fasiliti kesihatan bagi pengumpulan sampel, iaitu di Miri, Lawas, Bintulu, Mukah, Sibu dan akan berakhir di Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Ketika ditanya sama ada Program MyGENOM akan diperluas ke kawasan luar bandar Sarawak, dengan melibatkan sukarelawan daripada kumpulan etnik tertentu, Lukanisman berkata, pihak kementerian telahpun menyenaraikan etnik-etnik ini dan mempunyai satu data cukup baik untuk diwujudkan.

“Kita akan menggunakan fasiliti utama kita, (iaitu) hospital-hospital, memandangkan lokasi fasiliti ini adalah tumpuan orang ramai dan juga kaum-kaum (etnik) ini memang berada di dalam hospital.

“KKM berharap sebanyak boleh direkrut dari Sarawak melalui Unit Tabung Darah dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) di hospital-hospital terlibat menjelang akhir tahun 2025,” katanya.

Mengulas lanjut, Lukanisman turut mendedahkan bahawa kementerian kini berharap kepada peningkatan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)bagi meneruskan fasa kedua projek ini.

Ketika ditanya mengenai dana yang diperuntuk bagi menampung program dan penyelidikan berkaitan dengan MyGENOM, terutama bagi keperluan di Sarawak, Lukanisman berkata beliau tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar, kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Kosnya (Program MyGENOM) melibatkan (kos) kepakaran, logistik, keperluan peralatan dan kos yang digunakan sangat tinggi,” jelasnya sambil menambah, untuk itu, KKM akan melobi lagi dana yang lebih besar untuk menampung keperluan program ini dalam RMK13 yang akan bermula dari tahun 2026 hingga 2031.

Beliau berkata, Projek MyGENOM merupakan satu inisiatif strategik di bawah kerangka Malaysia MADANI bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM, yang memainkan peranan utama dalam melaksanakan proses persampelan, analisis data genomik berkaitan kesihatan dan perubatan genomik untuk projek ini, melalui pelbagai saluran seperti pusat pengambilan darah, komuniti setempat, kempen derma darah bergerak serta lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.

“Genom rujukan negara ini kelak akan menjadi asas kepada penyelidikan dan innovasi perubatan genomik, penggunaan Data Raya, Pembelajaran Mesin dan Kecerdasan Buatan (AI), pelaksanaan program-program dan intervensi kesihatan jitu serta perubatan jitu yang lebih berkesan dan bersasar untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.

“Pendekatan menyeluruh MyGENOM yang merangkumi penyertaan daripada pelbagai latar belakang etnik dan geografi juga mencerminkan komitmen terhadap prinsip keterangkuman dan kesaksamaan, yang merupakan nilai teras dalam agenda reformasi kesihatan negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM Datuk Dr Nor Fariza Ngah menyatakan bahawa MyGENOM bukan sekadar projek penyelidikan.

Beliau menegaskan bahawa projek itu adalah pelaburan strategik jangka panjang oleh negara bagi memastikan rakyat Malaysia menerima rawatan yang lebih tepat, selamat dan berkesan, yang disesuaikan dengan genetik dan keperluan kesihatan individu masing-masing.

“Inisiatif ini juga menyokong transformasi sistem kesihatan negara ke arah perkhidmatan yang lebih berpusatkan pesakit dan berasaskan data.
“Pendekatan ini membolehkan capaian yang lebih luas dan penyertaan yang lebih inklusif,” katanya.

Projek ini juga bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang genomik dan bioteknologi kesihatan serta menggalakkan kerjasama penyelidikan merentas institusi, termasuk peringkat antarabangsa.

Justeru, penglibatan aktif masyarakat, institusi penyelidikan, akademia dan sektor industri amat diperlukan bagi memastikan genomik menjadi teras kepada sistem kesihatan yang lebih mampan, inklusif dan berasaskan teknologi untuk generasi akan datang.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) Profesor Dato Wira Dr Raha Abdul Rahim dan Pengurus Institut Kesihatan Negara Dr Murizal Zainol.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-5-2025 09:23 AM GMT+8 , Processed in 0.045507 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list