CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1057|Reply: 0

Jomlah Ke Taiwan, Biarpun Kecil Namun Banyak Yang Menanti

[Copy link]
Post time 21-4-2025 09:33 PM | Show all posts |Read mode

Tahun ini ke mana agaknya destinasi yang ingin dijejaki? Jomlah ke Taiwan! Anda pasti kagum dengan kemodenannya, terpesona dengan keindahannya. Meneroka ibu kota metropolis, Taipei sahaja sudah boleh membuatkan anda seronok, apa lagi mengembara ke luar kota.


Taipei adalah sebuah bandar raya serba moden terbesar di Taiwan yang berada di kedudukan kelapan dalam indeks global bandar pintar sehingga mendapat pengiktirafan sebagai Bandaraya Alpha oleh Globalization and World Cities Study Group and Network (GaWC).




Jadi tidak hairanlah Taipei sering disenaraikan sebagai antara ‘Top Asian Cities to Visit’ oleh majalah pelancongan antarabangsa seperti Lonely Planet dan Travel + Leisure.


Kini, terdapat satu lagi sebab mengapa anda harus mengembara ke Taiwan. Biro Pelancongan Taiwan ketika ini giat mempromosikan kempen Salam Taiwan dalam usaha menarik minat pengembara atau pelancong muslim dari Malaysia untuk bercuti ke negara kepulauan itu.


Kempen yang mula diperkenalkan pada 2017 itu bertujuan  memperkenalkan lokasi dan aktiviti menarik di Taiwan yang mesra muslim seperti makanan dan minuman, penginapan dan tempat awam yang dilengkapi surau untuk menunaikan solat.


Terbaharu pelakon dan penyanyi Nabila Razali telah diangkat sebagai duta kempen Salam Taiwan. Sebagai duta, Nabila telah beberapa kali dibawa terbang ke Taiwan untuk melihat sendiri keindahan dan keunikan negara yang digelar ‘Jantung Asia’ itu.  


Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki, sekarang adalah waktu terbaik untuk merancang perjalanan ke sana. Ini kerana bermula Mac hingga Mei, Taiwan berada dalam musim bunga. Suhu waktu ini adalah sekitar 25 darjah celsius.


Namun begitu, jika anda berminat untuk menyertai pesta seperti festival belon, bunga api atau kulinari, waktu sesuai adalah sekitar Jun hingga Ogos.


Berikut adalah lima tarikan pelancongan yang boleh dilawati jika bercuti ke Taiwan. Senarai berikut adalah mengikut turutan kegemaran penulis.


1) Alishan Forest Recreation Area


Untuk sampai ke tarikan ini, anda perlu sanggup menempuh perjalanan yang panjang. Ia mengambil masa hampir lima jam dengan kereta atau bas dari pusat bandar Taipei.




Memang jauh tetapi berbaloi kerana ia menjanjikan cuaca dingin dek kedudukan yang di kawasan pergunungan. Bahkan, pemandangan yang terbentang di depan mata juga mempesona.


Alishan Forest Recreation Area ini dibuka 24 jam dan caj masuk yang dikenakan ialah TWD300 untuk seorang. Banyak aktiviti atau tarikan yang boleh lihat di sini.


Di sinilah tempatnya untuk menenggelamkan diri dalam kedinginan hutan, melihat matahari terbit, mengintai keindahan bunga Sakura dan menyaksikan tompokan awan yang menghiasi langit.


Jangan lupa naik kereta api merah yang membawa pengembara ke beberapa perhentian. Pengalaman ini cukup menyeronokkan kerana kiri dan kanan laluan keretapi menawarkan pemandangan yang cantik.




Selain menjelajah menggunakan kereta api, pengunjung juga boleh memilih untuk berjalan kaki melalui denai hutan. Terdapat beberapa denai yang boleh dipilih. Ada yang panjang, ada yang pendek. Jadi pilihlah mengikut kesesuaian stamina anda.


Satu kelebihan melalui denai ini ialah, anda boleh menghirup udara segar sambil merakam lebih banyak memori untuk dijadikan kenangan. Bahkan, denai-denai ini juga membawa pengunjung ke beberapa tarikan indah lain.


2) Fenqihu Old Street


Alang-alang sudah sampai ke Alishan, jangan lupa singgah ke Fenqihu Old Street yang terletak pada ketinggian sekitar 1,405 meter dari paras laut. Tarikan bersejarah ini juga merupakan salah satu tarikan utama dalam kawasan Alishan.




Nama ‘Fenqihu’ berasal daripada perkataan Hakka yang bermaksud ‘tempat seperti dulang’ (fenqi 畚箕) dan "tasik" (hu 湖), merujuk kepada bentuk lembah di kawasan tersebut.


Pada zaman penjajahan Jepun, Fenqihu dibangunkan sebagai hentian utama di sepanjang Laluan Kereta Api Hutan Alishan, di mana pekerja pembalakan berhenti untuk makan tengah hari.


Ketika inilah bermulanya tradisi ‘bento Fenqihu’. Bento ini berisi makan tengah hari tradisional yang terdiri daripada nasi, ayam, telur rebus, dan sayur-sayuran, dan disajikan dalam kotak kayu.


Menyusuri jalan-jalan di pekan lama ini, anda boleh singgah ke deretan kedai-kedai kopi, kedai menjual cenderahati dan juga makanan untuk dijadikan buah tangan.


Jangan lupa singgah di Garaj Fenqihu yang suatu ketika dahulu memainkan peranan penting sebagai tempat rehat dan penyelenggaraan bagi Kereta Api Alishan.




Garaj ini telah ditamatkan operasinya pada 1985 dan kemudiannya diubah menjadi muzium pameran kereta api stim.


Di sini, anda boleh melihat lokomotif stim No. 18 dan No. 29, bersama-sama gambar-gambar bersejarah yang dipamerkan di dinding.


3) Taipei 101 Observatory


Kalau sudah sampai ke Taiwan, jangan sesekali lepaskan peluang ke menara yang menjadi kebangaan rakyat Taiwan ini. Bangunan hijau tertinggi di dunia ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam pada setiap hari.


Platform atau kawasan tinjauan yang terdiri daripada empat tingkat ini membolehkan pengunjung menikmati pemandangan hebat Taipei dan belajar tentang keajaiban kejuruteraan Taipei 101.




Sama ada anda ke sini pada siang atau malam, pemandangan yang terbentang di depan mata adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan. Pastikan bateri telefon mencukupi untuk mengambil gambar dan video sepuas-puasnya.


Ketika mengelilingi platform tinjauan, anda boleh menemui kafe dan kedai menjual cenderahati. Jadi, jika anda punya banyak masa, bolehlah luangkan masa sebanyak mungkin di atas ini. Apa kata nikmati secawan kopi sebelum beredar ke tarikan lain atau pulang ke hotel.


Tiket boleh dibeli secara online di beberapa platform ejen pelancongan seperti Trip.com atau kkday.com jika anda tidak suka beratur untuk membeli tiket.  Layari website ini untuk bacaan lanjut.


4) Ximending


Ximending adalah lokasi atau tarikan yang wajib dikunjungi oleh ‘kaki shopping’ dan juga mereka yang gemar mencari pengalaman yang unik dan meriah. Ximending adalah kawasan yang ‘hidup’ meriah dengan pelbagai aktiviti seperti, membeli-belah, berhibur dan menjamu selera dengan pelbagai hidangan tempatan popular.


Tidak keterlaluan jika ia dikatakan mempunyai sedikit persamaan dengan Harajuku dan Shibuya yang popular di Tokyo, Jepun. Dengan papan tanda besar, butik-butik trendi, penghibur jalanan, dan seni jalanan yang memukau, Ximending menawarkan pengalaman yang unik dan mengujakan.




Di sinilah tempatnya anda mencari pelbagai jenis buah tangan atau ole-ole untuk dibawa pulang. Tat nenas Taiwan yang halal juga boleh dibeli pada harga murah, iaitu serendah TWD100. Untuk yang premium, ia berharga TWD300.


Boleh juga singgah ke stor flagship teh boba popular, Xing Fu Tang yang berasal dari negara ini. Tapi kenalah banyak bersabar kerana barisannya cukup panjang, terutamanya jika anda ke sini pada waktu petang dan malam.


Kawasan membeli-belah Ximending beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hinggalah ke tengah malam.


5) Masjid Agung Taipei (Taipei Grand Mosque)


Umat Islam boleh curi masa untuk melihat sendiri Masjid Agung Taipei yang tersergam indah berhadapan dengan Taman Da’an. Dibuka secara rasmi pada April 1960, pembinaan masjid ini mendapat dana dari Republik China, Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain.


Dikawal selia oleh Pertubuhan Cina Muslim yang mempunyai pejabat sendiri di masjid ini, organisasi Islam terbesar di Taiwan ini sering menganjurkan pelbagai aktiviti berkait dengan Islam yang dijalankan di serata Taiwan.


Pada mulanya, ia diasaskan dengan nama lain iaitu Islamic National Salvation Association atau Pertubuhan Angkatan Nasional Islam di Kota Wuhan, Tanah Besar China pada 1938. Bai Chongxi, tokoh ketenteraan dan ahli politik Kuomintang, dilantik sebagai pengerusi pertama.




Tujuan asal ia ditubuhkan ialah membantu Kerajaan China menentang penjajahan Jepun. Pertubuhan ini berpindah ke Taiwan selepas berakhirnya Perang Saudara China.


Pada hari ini, pertubuhan ini menjadi yayasan utama dan nadi penggerak dalam masyarakat muslim tempatan. Masjid Agung Taipei bukan sahaja tempat ibadah, tetapi juga lambang perpaduan, toleransi dan keharmonian antara agama di Taiwan.


Ia adalah bukti bahawa Islam berkembang secara damai dan dihormati di tengah-tengah sebuah bandar moden seperti Taipei.


Tunggu apa lagi? Jomlah ke Taiwan. Segalanya ada di sana. - Getaran, 20 April 2025


Foto : Rahayu MN


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: ExploRasa


ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-5-2025 05:24 AM GMT+8 , Processed in 0.048482 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list