
Awang Tengah (lima kiri) bersama tetamu kehormat lain meletakkan tangan di peranti khas sebagai simbolik pelancaran laman web baharu AZAM Sarawak. – Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) melancarkan laman web baharu dengan reka bentuk moden dan mesra pengguna, yang bakal memperkukuh peranan AZAM sebagai platform penyebaran maklumat dan penglibatan awam.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri AZAM 2025 bertemakan “Raya Kali Tok”, yang berlangsung meriah di hotel Imperial di sini pada malam Khamis.
Antara fungsi utama laman web tersebut termasuk direktori program pembangunan terkini, pendaftaran keahlian AZAM dalam talian, akses kepada e-publikasi PROGRESS dan laporan tahunan.
Laman web baharu itu turut menyediakan artikel pembangunan, bahan sumber media serta pusat rujukan untuk peluang kerjasama strategik termasuk ruang bagi NGO dan sektor swasta.
Di samping itu, ia juga menampilkan integrasi media sosial dan galeri aktiviti yang memperlihatkan impak visual kerja-kerja AZAM, selain ruangan khas untuk program belia seperti AZAM Young Souls (AYS) dan pembangunan komuniti luar bandar.
Ia turut menyediakan modul interaktif bagi pendaftaran program, pertanyaan dan maklum balas terus kepada sekretariat.
Pengurus Seksyen Komunikasi Strategik, Media dan Perhubungan Belia AZAM Sarawak Mohd Hassanal Hakim Junaidi menerusi satu kenyataan berkata, laman web ini direka bukan sekadar sebagai sumber maklumat, tetapi sebagai ruang untuk tindakan.
“Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi sebahagian daripada gerakan Pembangunan, daripada bandar hingga ke luar bandar, selari dengan semangat Movement for Progress yang kami bawa,” katanya.
Untuk makluman, pelancaran lamab web baharu ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang AZAM untuk memodenkan sistem penyampaian maklumat, memperluaskan capaian komuniti dan menjadi organisasi yang relevan, progresif dan responsif terhadap keperluan masa kini.
Melalui inisiatif ini, AZAM Sarawak terus memperteguh peranannya sebagai pemangkin perubahan sosial dan pembangunan rakyat di Sarawak, selain bergerak seiring dengan komuniti demi membina masa depan secara bersama.
Dalam pada itu, laman web baharu ini bakal menjadi saluran rasmi komunikasi bagi AZAM kepada agensi kerajaan, pemimpin komuniti, institusi pendidikan, serta rakan pembangunan dari sektor swasta dan antarabangsa.
Sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, laman web ini mengukuhkan komitmen AZAM dalam menyokong transformasi negeri menerusi pendekatan komunikasi partisipati yang memberi ruang kepada suara rakyat serta memperluas akses kepada maklumat pembangunan.
AZAM Sarawak yakin bahawa transformasi digital bukan sekadar satu keperluan, malah menjadi landasan utama dalam memperkasa komuniti dan memacu kemajuan yang inklusif.
Hadir sama semasa majlis, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rakan Strategik AZAM Sarawak Datu Hii Chang Kee; Pengerusi AZAM Sarawak Datu William Patrick Nyigor dan Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili.
|